MALAYSIA
APEC pertingkat usaha pastikan transformasi ekonomi berasaskan AI selamat, inklusif

Peserta dalam persidangan itu turut membincangkan penggunaan AI merangkumi pelbagai sektor dan mengkaji kerangka baharu sebagai panduan dalam ujian, penilaian pematuhan dan pelaksanaan. - Gambar Facebook APECnews
KUALA LUMPUR: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sedang mempertingkat usaha bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam mentransformasikan dan membentuk semula ekonomi dan masyarakat di rantau Asia Pasifik adalah selamat, inklusif dan mampan.
Pengarah Agensi Teknologi dan Piawaian Korea (KATS) Dr Jin-seok Bae berkata AI menawarkan peluang besar dan cabaran kompleks yang tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana ekonomi secara bersendirian.
"AI sedang mentransformasikan industri dan kehidupan seharian kita dengan pesat, namun tanpa piawaian bersama, kita berisiko mengalami perpecahan dan rasa tidak percaya," katanya dalam kenyataan hari ini sempena Persidangan Piawaian AI APEC di Incheon, Korea Selatan.
Lebih 200 penggubal dasar, ahli teknologi dan pakar piawaian telah berhimpun dalam persidangan itu bagi memacu tumpuan dalam tadbir urus AI dan penjajaran teknikal di seluruh rantau ini."Persidangan ini memberi peluang kepada ekonomi APEC untuk menjajarkan usaha, bertukar-tukar pengetahuan dan menyokong kerjasama antarabangsa dalam membentuk tadbir urus AI yang selamat, inklusif dan berpandangan jauh," katanya.
Persidangan dua hari itu menyediakan latihan praktikal, perkongsian amalan terbaik dan mengetengahkan perspektif daripada badan piawaian global sekali gus menekankan bahawa kerjasama antarabangsa adalah teras kepada pembangunan AI yang bertanggungjawab.
Pada majlis pembukaan persidangan itu, Timbalan Setiausaha Agung Organisasi Piawaian Antarabangsa (ISO) Silvio Dulinski menekankan peranan piawaian antarabangsa dalam membina kepercayaan, keadilan dan keselamatan dalam AI.
Beliau berkata piawaian menawarkan alat boleh skala berpacukan konsensus bagi menjajarkan peraturan dan memastikan kepelbagaian dan keterangkuman dalam tadbir urus AI.
Peserta dalam persidangan itu turut membincangkan penggunaan AI merangkumi pelbagai sektor dan mengkaji kerangka baharu sebagai panduan dalam ujian, penilaian pematuhan dan pelaksanaan.
Mereka turut mengkaji aplikasi sebenar piawaian AI dalam bidang seperti etika, interaksi manusia-AI, pengurusan risiko dan impak terhadap alam sekitar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil mengenai Piawaian dan Pematuhan (SCSC) APEC Dr Kang Byung-Goo berkata piawaian bukan sahaja proses teknikal, ia adalah asas kepada inovasi mampan dan pertumbuhan inklusif.
"Kami berharap bengkel ini memberi peluang kepada kerjasama dalam kalangan ekonomi APEC mengenai piawaian AI.
"Dengan bekerjasama, ekonomi APEC boleh memastikan sistem AI bukan sahaja berkesan, malah sejajar dengan nilai bersama kita," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami