APLIKASI pengiklanan Getthiss yang dicipta sepenuhnya oleh rakyat Malaysia merupakan satu platform bagi pengguna menikmati pelbagai jenis perkhidmatan secara talian dengan percuma.

Aplikasi yang merupakan perkhidmatan pusat sehenti itu telah menembusi pasaran antarabangsa dalam tempoh kurang daripada setahun.

Pengarah Urusan Getthiss Apps, Datuk Hisyamudin Supian berkata ia ditubuhkan selepas melihat tren terkini bahawa masyarakat bergantung sepenuhnya terhadap teknologi.

Jelasnya, aplikasi itu mampu menarik minat pemain industri memasarkan produk mereka dengan pantas sehingga menembusi pasaran antarabangsa.

"Sekarang ini, hanya dalam tempoh tidak sampai setahun, iaitu dalam masa 11 bulan, kita telah bergerak ke tiga buah negara.

"Terbesar di Malaysia, Indonesia dan Thailand dan sekarang kita telah berkembang ke Jepun, Singapura, Korea dan Taiwan", katanya ketika perlancaran aplikasi Getthiss di sini pada Khamis.

Setakat ini, hampir seribu pelbagai jenis produk telah diiklankan bagi pengguna yang melayari aplikasi Getthiss.

Sejak aplikasi ini dilaksanakan Jun 2016, lebih 35 ribu pengguna yang menggunakan platform itu.

Hisyamudin berkata jumlah pengguna yang menggunakan aplikasi Getthiss dijangka meningkat kepada 500 ribu orang menjelang penghujung tahun 2018.