KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengambil inisiatif menyediakan ruang untuk orang ramai memberikan sumbangan berbentuk barangan kepada mangsa banjir pantai timur.

Pengarah APM Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata pihaknya kini menyediakan pusat pengumpulan barangan sumbangan sebagai langkah proaktif memudahkan masyarakat menghulurkan bantuan, di samping membantu mangsa banjir mendapatkan barangan keperluan mereka.

"Banjir di Pahang masih terkawal tetapi di negeri jiran seperti Terengganu dan Kelantan agak mencabar, justeru kami ambil inisiatif bertindak sebagai pusat pengumpulan barangan sumbangan daripada organisasi atau syarikat swasta serta mana-mana pihak yang berminat membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

"Kalau ada syarikat dari negeri lain yang ingin menyumbang juga boleh berbuat demikian kerana APM akan menyelaraskan secara sistematik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat APM Pahang, Jalan Beserah di sini hari ini.

Menurutnya barangan sumbangan dicadangkan seperti makanan kering dan dalam tin, minuman, tuala wanita, lampin pakai buang, pakaian sekolah, alat tulis, telekung, susu formula bayi, tuala dan jaket keselamatan akan dikumpulkan di Ibu Pejabat APM Pahang.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga mempunyai logistik yang mencukupi dan bersesuaian untuk mengedarkan bantuan barangan tersebut di kawasan terjejas banjir.

"Sekiranya masyarakat ingin kumpul barangan di peringkat komuniti penduduk, kami juga boleh pergi ambil dan bawa ke pusat pengumpulan untuk diselaraskan.

"Cuma buat masa ini kami tidak menerima pakaian terpakai kerana berdasarkan pengalaman lepas, kami terpaksa membuat pengasingan dan berlaku lambakan, jadi sekarang kami pentingkan barang keperluan asas dahulu," kata Che Adam.

Sementara itu, beliau memaklumkan jaket keselamatan kanak-kanak masih berkurangan dan merupakan keperluan penting untuk digunakan ketika operasi menyelamat mangsa.

Menurutnya mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan barangan boleh menghubungi APM Pahang di talian 013-9384991 (Kapt Zaubidah) atau 019-9093694 (Lt Norisman).

-- BERNAMA