Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan bilangan sukarelawannya kepada dua juta anggota tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata penambahan anggota sukarelawan akan dilakukan mulai bulan depan secara berperingkat bagi melancarkan pengendalian aset APM.

"Ketika ini APM hanya mempunyai 3,000 anggota sukarelawan di seluruh negara dan jumlah itu tidak mencukupi.

"Sebagai contoh di seluruh Kuala Kangsar hanya seorang sahaja anggota APM tetap yang bertugas dan ia memerlukan anggota sukarelawan bagi mengendalikan aset seperti ambulans, bot dan sebagainya," katanya kepada Bernama di sini, pada Rabu.

Shahidan berkata APM mahu lebih ramai anggota sukarelawan ditempatkan di setiap daerah bagi melancarkan setiap operasi menyelamat. -- BERNAMA