APMM rampas hampir sejuta rokok seludup di Sungai Golok

Erwan Shah dalam sidang media di ibu pejabat APMM Kelantan, hari ini. - Gambar Bernama
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas hampir satu juta batang rokok putih bernilai RM640,000 yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok sekali gus menggagalkan cubaan menyeludup rokok tanpa cukai menggunakan laluan tersebut, pada Sabtu lepas.
Ringkasan AI
- APMM Kelantan merampas hampir satu juta batang rokok putih bernilai RM640,000 di tebing Sungai Golok, menggagalkan cubaan menyeludup rokok tanpa cukai menggunakan laluan tersebut, setelah menerima maklumat risikan tepat.
- Rampasan dilakukan selepas bot mencurigakan dari Tak Bai, Thailand dikesan bergerak laju sebelum melarikan diri ke perairan Thailand, meninggalkan 940,000 batang rokok putih tanpa cukai di lokasi.
- Kesemua barang rampasan disita kerana kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, sementara suspek yang dipercayai telah melarikan diri sebelum tiba pihak berkuasa.
"Sekitar 2 pagi, sebuah bot pancung dikesan bergerak laju dalam keadaan gelap sebelum berpatah balik dari arah Galeri Tengku Anis menuju semula ke Tak Bai selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa APMM," katanya dalam sidang media di ibu pejabat APMM Kelantan, hari ini.
Erwan Shah berkata usaha kejar buru telah dijalankan namun bot suspek gagal dipintas dan berjaya meloloskan diri memasuki perairan Thailand.
Beliau berkata rondaan di kawasan sekitar diteruskan dan pada 2.13 pagi, anggota APMM menemukan longgokan kotak rokok yang dibungkus dalam plastik lut sinar ditinggalkan di tebing Sungai Golok berhampiran Galeri Tengku Anis.
"Hasil pemeriksaan terdapat 94 peti dan kotak mengandungi 940,000 batang rokok putih tanpa cukai dengan nilai anggaran RM640,000. Bagaimanapun, tiada individu ditahan di lokasi kejadian kerana suspek dipercayai telah melarikan diri sebelum ketibaan pihak penguat kuasa," katanya.
Erwan Shah berkata kesemua rampasan disita kerana disyaki melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan dibawa ke ibu pejabat negeri untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Beliau menegaskan kejayaan operasi itu membuktikan tahap kesiapsiagaan aset serta kecekapan anggota APMM dalam bertindak pantas berasaskan maklumat risikan.
Katanya APMM akan terus mempergiat usaha membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan serta meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi APMM di talian 011-1199 0708 demi keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


