Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merancang untuk menambah aset termasuk 10 buah bot jenis Airboat dalam tempoh masa dua tahun ini bagi memantapkan operasi agensi itu.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pihaknya masih dalam perbincangan dan kajian untuk memiliki bot yang menggunakan teknologi dari Australia itu.

"Airboat yang berkelajuan 75 kilometer sejam ini penting bagi kegunaan pasukan kami menjalankan operasi di kawasan laut cetek dan permukaan lumpur serta menaiki daratan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media demonstrasi dan uji pandu bot berkenaan di Jeti Pulau Danga di sini pada Khamis.

Katanya dengan memiliki aset yang boleh digerakkan dalam semua keadaan permukaan laut, pantai dan cuaca, ia akan memberi kelebihan kepada usaha mencegah jenayah yang berlaku di kawasan laut cetek dan berlumpur.

Ahmad Puzi berkata spesifikasi aset itu dikatakan direka bentuk untuk memasuki kawasan cetek berlumpur dan menaiki daratan yang boleh digunakan untuk membanteras jenayah seperti aktiviti mencuri kerang.

"Sebelum membuat apa-apa pembelian, kami meminta pihak penjual bot supaya membetulkan beberapa keperluan dalam bot serta menaik taraf seperti tempat duduk yang perlu di tukar supaya lebih bercirikan keselamatan," kata beliau.

Katanya jika teknologi Airboat itu dapat diaplikasikan ia akan menjadikan APMM menjadi agensi pertama di negara ini yang menggunakan bot seumpama itu.

Beliau berkata Airboat itu dianggarkan bernilai kurang dari RM1 juta seunit dan dikeluarkan oleh Syarikat Ard Technology Corporation Sdn Bhd Australia.