Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyasarkan untuk menarik 1,500 orang untuk menyertai pasukan sukarelawan agensi itu, Sahabat APMM bagi Wilayah Pantai Timur.

Ketua Penguatkuasa Wilayah Maritim Timur, Laksamana Pertama Maritim Mamu Said Alee berkata jumlah itu merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan, melibatkan keanggotaan 500 orang dari setiap negeri.

Mamu berkata APMM akan merekrut sukarelawan dalam kalangan komuniti maritim bagi menjadikan mereka mata dan telinga kepada pihaknya pada masa hadapan, dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah yang berlaku di laut.

"Ahli-ahli juga akan dipanggil dari semasa ke semasa untuk menjalani latihan tertentu supaya mereka dapat membantu APMM terutama dalam aktiviti mencari dan menyelamat serta menyalurkan bantuan bencana di laut.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan dan Pemasangan Radio Set Nelayan di pejabat APMM di sini, hari ini.

Mamu menambah usaha itu juga selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang bertanggungjawab ke atas APMM yang mahu melihat sukarelawan maritim diwujudkan.

Pada majlis itu, sebanyak 12 set radio bernilai RM38,000 yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) diserahkan kepada Persatuan Nelayan Kuantan susulan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara APMM dan BSN dalam menyediakan perkhidmatan penghantaran dan pengambilan wang tunai di Pulau Tioman.

Mamu berkata anggota sahabat maritim, antaranya terdiri daripada nelayan, kru kapal dagang dan feri, pegawai pelabuhan serta platform minyak dan gas mungkin akan diserapkan sebagai anggota simpanan APMM apabila perkara berkenaan dipersetujui oleh kerajaan.

"Setakat ini APMM tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk melaksanakan program ini.

"Namun saya percaya jika dilaksanakan, ahli-ahli sahabat maritim yang menyertai anggota simpanan APMM boleh memberi sumbangan tenaga, kemahiran dan idea secara sukarela," katanya.