BISNES
JPG perkukuh kerjasama strategik lonjak sawit lestari Johor

Barisan pimpinan JPG, YPJ Plantations dan PIJ Holdings bergambar bersama dokumen MoU yang dimeterai disaksikan Pengerusi Zahari Sarip (tiga dari kiri) di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
ISKANDAR PUTERI: Johor Plantations Group Berhad (JPG) terus komited memacu transformasi industri sawit Johor secara mampan menerusi pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama YPJ Plantations (YPJP) dan PIJ Holdings (PIJH), dua syarikat berkaitan kerajaan negeri Johor.
Kerjasama strategik ini menyaksikan sinergi antara tiga entiti utama negeri dalam memodenkan sektor agribisnes berasaskan sawit, khususnya dari aspek pendigitalan, kelestarian dan pembangunan tenaga kerja.
MoU ini meliputi kawasan ladang seluas 13,202 hektar milik YPJP dan PIJH, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai peneraju agribisnes sawit moden dan mampan di negara ini.
Pengerusi JPG, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, kerjasama ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos, serta mematuhi piawaian pensijilan antarabangsa seperti RSPO.Menurutnya, teknologi yang dibangunkan JPG termasuk inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) mampu memberi nilai tambah kepada rakan strategik lain dalam ekosistem agribisnes negeri Johor.
“Inisiatif ini mampu meningkatkan pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan menyasarkan lebih banyak ladang mendapat pensijilan RSPO, selaras dengan aspirasi menjadikan Johor sebagai model agribisnes mampan negara,” katanya selepas majlis menandatangani MoU tersebut di Iskandar Puteri.
Majlis turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCORP), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.
Dalam ucapannya, Zahari menyifatkan kerjasama ini sebagai satu pencapaian penting yang memperkukuh hubungan antara sektor korporat dan dasar pembangunan negeri.
“Sinergi antara sektor korporat dan dasar negeri ini bukan sahaja memacu pertumbuhan, malah membawa manfaat langsung kepada sosioekonomi rakyat Johor,” katanya.
Inisiatif ini turut menyokong kerangka Johor Green Deal melalui pelbagai pendekatan lestari termasuk penggunaan teknologi gas biometana, pensijilan MSPO dan RSPO serta pelaksanaan ekonomi kitaran menerusi projek Kompleks Integrasi Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) yang sedang dibangunkan JPG.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami