KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor telah mengenai pasti lokasi panas atau lorong tikus dipercayai menjadi laluan masuk dan keluar pendatang tanpa izin, menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengarahnya Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad berkata kawasan di utara Selangor, khususnya di sekitar kawasan industri perikanan merupakan antara lokasi tumpuan laluan masuk dan keluar secara haram disebabkan kedudukan geografinya yang terbuka dan hampir dengan perairan sempadan.

Beliau berkata risikan awal mendapati cubaan untuk keluar secara haram melalui lokasi berkenaan telah dikesan berlaku sejak awal Ramadan lagi.

Katanya bagi menangani pergerakan keluar masuk itu, APMM Selangor juga telah mendapatkan bantuan dari ibu pejabat untuk membantu dari aspek risikan memandangkan terdapat banyak lokasi berisiko yang dikenali pasti selain kawasan industri perikanan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jalinan Strategik Operasi Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor dan APMM Selangor, yang diikuti majlis berbuaka puasa dan solat tarawih bersama warga Kapal Maritim Bagan Datuk di sini, semalam.

"Kepada sindiket ini khususnya rakyat tempatan saya ingatkan jangan cuba libatkan diri, tindakan anda dipantau rapat...sebaiknya anda jadilah mata dan telinga kami untuk sama-sama membanteras kegiatan ini demi negara," katanya.

Sementara itu Abdul Muhaimin berharap kerjasama erat antara APMM dan MKN dapat ditingkatkan terutamanya dalam aspek perkongsian maklumat bagi mencegah sebarang kegiatan jenayah daripada berlaku di kawasan perairan negara.

Beliau berkata kerjasama strategik antara pihak berkuasa keselamatan ini telah menyumbang kepada kejayaan APMM dalam membanteras kegiatan jenayah, antaranya mematahkan cubaan penyeludupan dadah disyaki jenis syabu bernilai RM1.32 juta, awal bulan lepas.

-- BERNAMA