Skip to main content

Politik

PRN Melaka: "Kalau saya gentar, saya dah lari tempat lain" - Mohd Yadzil sedia pertahan DUN Bemban

Dalam PRN Melaka pada 2021, Mohd Yadzil menang kerusi DUN Bemban atas tiket Bersatu dengan majoriti 328 undi, sebelum menyertai Wawasan selepas dipecat daripada parti itu pada 14 Februari 2026. - Foto Astro AWANI
Dalam PRN Melaka pada 2021, Mohd Yadzil menang kerusi DUN Bemban atas tiket Bersatu dengan majoriti 328 undi, sebelum menyertai Wawasan selepas dipecat daripada parti itu pada 14 Februari 2026. - Foto Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Dr Mohd Yadzil Yaakub menyatakan kesediaan mempertahankan kerusi DUN Bemban pada PRN Melaka jika diberi peluang oleh parti.
  • Beliau tidak gentar berdepan calon Bersatu, merujuk prestasi lemah parti itu di Johor dan Negeri Sembilan sebagai bukan cabaran besar.
  • Mohd Yadzil menyerahkan keputusan calon kepada parti dan bersedia menerima sebarang arahan, termasuk bertanding di kawasan lain.

JASIN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub menyatakan kesediaan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, sekiranya diberi peluang oleh partinya.

Timbalan Penyelaras Wawasan Melaka itu berkata beliau masih menyimpan hasrat untuk terus berkhidmat kepada penduduk Bemban, selain berharap dapat memainkan peranan lebih besar sekiranya diberi peluang berkhidmat dalam kerajaan.

Malah, beliau menegaskan tidak sesekali gentar berdepan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jika bekas partinya itu berhasrat merampas kerusi berkenaan.

“Kalau saya gentar, saya dah lari tempat lain. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Rabu.

Dalam PRN Melaka pada 2021, Mohd Yadzil menang kerusi DUN Bemban atas tiket Bersatu dengan majoriti 328 undi, sebelum menyertai Wawasan selepas dipecat daripada parti itu pada 14 Februari 2026.

Mengulas lanjut, bekas doktor bedah umum itu berkata beliau tidak melihat pertembungan dengan calon Bersatu sebagai cabaran besar, sebaliknya merujuk kepada prestasi parti berkenaan pada pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau mendakwa prestasi Bersatu di kedua-dua negeri itu, termasuk kegagalan membentuk kerajaan serta kehilangan deposit oleh kebanyakan calonnya, mencerminkan cabaran yang perlu dihadapi parti berkenaan.

"Saya rasa tak payah cakap panjang. Tengok rekod prestasi mereka di Johor dan Negeri Sembilan. Saya tak rasa benda itu akan menjadi cabaran yang besar sebab apa, Bersatu pun dah memberi imej yang tak baik pada diri mereka sendiri.

"Akhirnya di Negeri Sembilan dan Johor, mereka tak dapat bentuk kerajaan, malah kebanyakan daripada calon-calon mereka hilang deposit. Apalagi calon yang diletakkan di sini pun mungkin bukan orang dalam kawasan kita (Bemban)," tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Yadzil memaklumkan pengalamannya sebagai wakil pembangkang sebelum ini memperlihatkan pelbagai kekangan dalam usaha membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah penduduk, termasuk dari segi peruntukan serta sekatan lain.

“Saya secara peribadi sayang Bemban dan kalau diberi peluang ingin mempertahankannya.

“Jadi kita harapkan kali ini kalau diberi peluang, saya nak mempertahankan dan insya-Allah kalau dapat bergabung dalam kerajaan, peluang itu lebih besar untuk saya berkhidmat dengan kapasiti penuh sebagai Yang Berhormat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd Yadzil menyerahkan keputusan mengenai penentuan calon kepada parti dan bersedia menerima sebarang arahan, termasuk jika ditugaskan bertanding di kawasan lain.

Perikatan Nasional (PN) dijadual mengumumkan senarai calon mereka pada 29 Oktober (esok).

Dalam PRN Melaka kali ini, PN kekal bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang telah mengumumkan meletakkan 21 calon, dengan tujuh lagi diberikan kepada Pas dan rakan kerjasamanya.

Selain Bemban, satu lagi kerusi yang dimenangi Bersatu ialah Sungai Udang, namun penyandangnya, Dr Mohd Aleef Yusof juga telah menyertai Wawasan.

PRN Melaka kali ini, BN telah mengumumkan calon mereka iaitu Datuk Rais Yasin dipertaruhkan di Sungai Udang pada hari pengundian yang dijadual pada 14 November depan.

Must Watch Video

Advertisement