KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki yang disyaki membawa 170,000 liter diesel tanpa kebenaran bernilai kira-kira RM900,000 di kawasan perairan Teluk Sepanggar di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kapal itu yang didaftarkan di negara ini dikesan bot ronda dalam operasi khas di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Teluk Sepanggar kira-kira 2 petang.

"Kapal tangki terbabit dikendalikan empat kru termasuk nakhoda, kesemuanya warga tempatan berusia 24 hingga 72 tahun. Pemeriksaan ke atas muatan menemukan sejumlah 170,000 liter minyak diesel yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi yang sah.

"Pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal mendapati ia sengaja dimatikan dan menimbulkan kecurigaan kepada pasukan APMM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan dokumentasi turut menemukan pelbagai kesalahan lain seperti pertukaran butiran syarikat tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal, kapal beroperasi tanpa kru yang lengkap seperti di dalam Daftar Keselamatan Kapal.

Menurutnya nakhoda, ketua jurutera dan kru kapal juga didapati tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya serta peralatan keselamatan tidak mencukupi.

"Kapal dan kru ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Sepanggar, di sini untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

-- BERNAMA