KUALA LUMPUR : Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan program Arafah #QuranHour: Haji membina Ummah sempena Hari Wukuf, 9 Julai ini.

Ia mengambil momentum perhimpunan terbesar umat Islam menyelusuri Surah Al-Sajdah, Surah Al-Hajj dan ayat-ayat pilihan dari Al-Quran dalam membina karakter hamba Allah yang bersujud dan patuh.

Pada tahun ini, program berinteraksi dengan Al-Quran melalui baca, faham dan amal mengangkat Surah Al-Sajdah ayat 15 dan Surah Al-Hajj ayat 18 dan 77.

Bacaan ayat pilihan Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dibimbing oleh Qari Ustaz Husaini Mahmur dan Qari Ustaz Amirahman Abas.

Justeru, orang ramai dialu-alukan berpuasa pada 9 Zulhijjah 1443H sempena Hari Wukuf i Arafah dan mengikuti siaran tersebut di Facebook World Quran Hour dan Youtube QuranTV.

Mereka boleh mengadakan aktiviti baca dan tadabbur Al-Quran selepas Subuh di lokasi masing-masing.

Arafah #QuranHour pertama kali diadakan pada 2016, diikuti 2017 dan 2018.

Program itu tidak dapat diteruskan pada tahun 2020 dan 2021 berikutan pandemik COVID-19.