KUALA LUMPUR: Pembangunan industri dron melalui Penyelidikan dan Pembangunan Area 57 (Area 57) adalah langkah strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab dron memandangkan perkembangan industri itu mampu memberikan kesan berganda kepada industri lain.

Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan Area 57 yang dilancarkan Khamis juga mampu meningkatkan permintaan tenaga kerja mahir.

"Dengan jumlah terkini pendaftaran MBOT sebanyak 44,051 dalam 23 bidang teknologi dan teknikal, pelbagai potensi boleh diteroka dan dikembangkan.

Perkembangan pesat dron telah menjangkaui pelbagai industri yang didukung oleh gabungan beberapa aspek teknologi seperti Analisis Data Raya, Kecerdasan Buatan, teknologi elektronik, teknologi kejuruteraan mekanikal, bateri, perisian komputer, kamera infra-merah dan modul GPS," menurut kenyataan itu.

Oleh itu, MBOT menggalakkan semua pihak termasuk pemain industri, institut pengajian tinggi dan agensi kerajaan untuk meningkatkan kemahiran dan mendapatkan latihan semula supaya bakat sedia ada sentiasa relevan dan kompetitif dengan keperluan industri.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba ketika melancarkan Area 57 berkata ia adalah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Ia bertujuan memajukan perkembangan industri berfokus inovasi pesawat tanpa pemandu (UAV) dan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dengan penyediaan tujuh nilai cadangan iaitu menyelidik, membangun, menguji, memperakui mengilang, mengkomersialkan dan menyelenggara penyelesaian dan teknologi dron.

Sementara itu, menurut MBOT berdasarkan laporan yang dikeluarkan Drone Industry Insights pada 2020, saiz pasaran dron akan meningkat setiap tahun menjelang 2025 dan Asia akan mempunyai saiz pasaran dron yang paling tinggi di dunia.

Kenyataan itu memaklumkan Malaysia berada di tempat ketiga dunia selepas Amerika dan Jepun dalam kalangan penyedia perkhidmatan dron pada 2019.

"Kedudukan di peringkat global ini membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar mempunyai penyedia perkhidmatan dron yang hebat, bahkan juga mempunyai teknologi dron yang bertaraf dunia," menurut MBOT.

-- BERNAMA