KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pengeluaran wang RM1 juta oleh pihak Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak dimaklumkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pegawai Kewangan 1 Bersatu Muhammad Zulhelmi Zaulkafly, 30, yang bertugas di Pejabat Bendahari Bersatu sejak 2016, berkata pihaknya juga tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada Armada berhubung pengeluaran wang itu.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris pada perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Disoal Mohd Shahrom sama ada saksi itu tahu mengenai pengeluaran wang RM1 juta daripada pihak Armada, Muhammad Zulhelmi menjawab: Tidak tahu.

Muhammad Zulhelmi, yang mengawal selia dan mentadbir serta mengurus hal ehwal kewangan parti, berkata mengikut Fasal 24 Perlembagaan Parti Bersatu, perbelanjaan melebihi RM500,000 perlu mendapat kelulusan majlis tertinggi dan jika terdapat pengeluaran wang, ia perlu direkod bagi memeriksa baki dalam akaun.

Mohd Shahrom: Apa akan terjadi jika ia tidak direkodkan?

Muhammad Zulhelmi: Melanggar peraturan 24 iaitu kita nak mengelakkan berlaku ketirisan kewangan.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, beliau berkata pemegang amanah bagi akaun Armada ialah Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi (ketika itu Penolong Setiausaha Armada) dan Rafiq Hakim Razali (ketika itu Penolong Bendahari Armada).

Sebelum ini, Rafiq Hakim memberitahu mahkamah bahawa pengeluaran RM1 juta daripada akaun Armada atas arahan Syed Saddiq tidak mengikut prosedur dan ia adalah salah kerana tiada kertas kerja dikemukakan untuk membolehkan wang itu dikeluarkan pada 6 Mac 2020.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

-- BERNAMA