NATIONAL
Armizan nafi Kerajaan MADANI hapuskan subsidi LPG

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika sidang media pada Program Pengumuman Skim Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni Inanam hari ini. - Foto BERNAMA
INANAM: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali hari ini menafikan dakwaan kononnya Kerajaan MADANI menghapuskan subsidi gas petroleum cecair (LPG) bagi premis makanan menggunakan lebih 42 kilogram (kg) bahan itu.
Ringkasan AI
- Menteri Datuk Armizan Mohd Ali menafikan dakwaan bahawa Kerajaan MADANI menghapuskan subsidi LPG untuk premis makanan yang menggunakan lebih 42kg bahan itu.
- Katanya, premis yang guna lebih 42kg LPG hanya perlu mohon permit barang kawalan, dan peraturan ini sudah berkuat kuasa sejak 2021 di bawah kerajaan terdahulu.
- Beliau tegaskan subsidi LPG adalah untuk rakyat, bukan perniagaan besar, dan dakwaan sebaliknya hanya mengelirukan orang ramai.
"Perlu diingat, subsidi LPG mencecah RM3.4 bilion pada tahun lepas. Ini adalah satu jenis subsidi kepenggunaan untuk rakyat, bukannya subsidi perniagaan atau perdagangan. Ada kes spesifik perniagaan perlu menggunakan LPG melebihi 42kg pada satu masa, maklumkan kepada saya.
"Kita boleh semak sama ada premis perniagaan ini menjual barangan dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat pada harga yang berpatutan, jika kos sara hidup rakyat dijadikan alasan untuk menghalalkan subsidi bagi operasi perniagaan mereka.
"Saya tidak fikir banyak kedai makan apatah lagi gerai makan atau gerai burger perlu menyimpan atau menggunakan tong LPG melebihi 42kg pada satu-satu masa, melainkan premis perniagaan berskala besar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni di sini hari ini.
Armizan berkata dakwaan seperti itu mengelirukan rakyat dan perkara yang cuba disentuh itu bukan satu dasar atau peraturan baharu di bawah Kerajaan MADANI, sebaliknya telah dikuatkuasakan pada 2021 di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini.
"Mereka memainkan sentimen beban kos dipindahkan kepada rakyat, tetapi subsidi LPG ini datangnya daripada duit rakyat sendiri iaitu dana awam termasuk duit pembayar cukai. Adalah tidak wajar semua kos perniagaan termasuk perniagaan berskala besar ditanggung duit rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami