Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen 7.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012 berbanding 7.65 sen tahun lepas.

Sejumlah 7.82 juta pemegang unit, yang kini memiliki sejumlah 110.2 bilion unit ASB, juga akan menerima bonus sebanyak 1.15 sen seunit.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata bahagian agihan pendapatan membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM8.13 bilion manakala bayaran bonus sebanyak RM712.21 juta.

"Malah, ia merupakan pembayaran tertinggi sejak lima tahun lepas iaitu mulai 2008 hingga 2012, tujuh sen pada 2008, 7.30 sen pada 2009 dan 7.50 sen pada 2010," katanya kepada pemberita pada pengumuman agihan pendapatan ASB Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sehingga Rabu lepas, beliau berkata skim itu mencatat pendapatan kasar sebanyak RM8.54 bilion.