CEBU: Malaysia mencadangkan agar ASEAN mewujudkan mekanisme simpanan makanan kecemasan serantau bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis tenaga yang berlaku ketika ini mula memberi kesan langsung kepada sektor makanan di rantau ASEAN.
“Krisis tenaga kini secara langsung menyumbang kepada ketidaktentuan bekalan makanan. Kenaikan harga bahan api meningkatkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran, sekali gus mewujudkan tekanan bekalan di seluruh rantau.
“Jika gangguan berterusan, ASEAN berdepan risiko penurunan hasil dan inflasi makanan yang berpanjangan sehingga tahun depan. Oleh itu, keselamatan makanan mesti dianggap sebagai keutamaan strategik serantau,” katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-48, di sini, pada Jumaat.
Dalam konteks itu, Anwar menegaskan, isu keselamatan makanan tidak lagi boleh dilihat sebagai isu sektoral semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan keutamaan strategik ASEAN.
“Saya mencadangkan supaya menteri berkaitan segera meneliti mekanisme simpanan makanan kecemasan serantau ketika krisis bagi memastikan penyelarasan dan tindak balas kecemasan dapat dilakukan dengan lebih pantas,” ujarnya.
Beliau turut menggesa mekanisme ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) diperkukuh bagi memastikan kestabilan bekalan makanan di rantau ini.
Menurut beliau, kerjasama di bawah APTERR juga wajar diperluaskan melangkaui simpanan beras termasuk melibatkan aspek keselamatan baja.
Cadangan itu dilihat sebagai antara usaha Malaysia untuk memperkukuh daya tahan ASEAN dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan global.