MALAYSIA
ASEAN bertemu Anfield: Tengku Zafrul, Sami Hyypia cuit hati hadirin makan malam ASEAN-BAC

Tengku Zafrul bersama Sami Hyypia pada Majlis Makan Malam Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Suasana majlis makan malam Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) yang mungkin kebiasaannya akan sarat dengan bicara serius berkaitan ekonomi bertukar menjadi lebih meriah apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertemu legenda bola sepak Liverpool FC, Sami Hyypiä.
Disifatkan sebagai acara gabungan diplomasi ekonomi dan sukan, sesi santai selama 30 minit dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien itu diwarnai dengan trivia berkaitan bola sepak serta inspirasi mengenai kepimpinan, kerjasama berpasukan dan daya tahan oleh Tengku Zafrul dan Hyypiä, yang kini duta kelab bola sepak Liverpool FC.
Di hadapan para hadirin yang hadir pada malam itu, Tengku Zafrul secara berseloroh berkongsi seandainya beliau bukan seorang menteri atau banker, impiannya mahu menjadi pemain bola sepak untuk “menyelamatkan Manchester United”. Gurauan spontan beliau itu lantas disambut dengan tawa dan tepukan hadirin.
Tengku Zafrul turut menyamakan rundingan perdagangan berprofil tinggi dengan debaran umpama mengambil sepakan penalti. “Ada ketika, lebih baik kita tidak terlalu memikirkan perkara yang di luar kawalan. Namun yang penting adalah persediaan serta pasukan yang mantap bagi menghadapi cabaran apabila ia muncul,” katanya.
Hyypiä juga tidak ketinggalan membawa tetamu mengimbas kembali pada malam ketika Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara UEFA 2005 di Istanbul, Turkiye.
“Tiada siapa percaya kami mampu bangkit selepas 3-0 di separuh masa, tetapi itulah bukti bahawa apabila usaha digandakan, keajaiban pasti akan tercipta,” kata Hyypiä.
Majlis makan malam eksklusif bersempena Forum Anjakan Hijau ASEAN itu diadakan serentak dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di sini semalam.
Forum berkenaan dianjurkan bersama ASEAN-BAC Malaysia dan Standard Chartered dengan sokongan rakan kerjasama Yinson Holdings Bhd serta Persatuan Pasaran Karbon Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob; Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard Kagan; Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak; menteri-menteri ekonomi ASEAN, pemimpin industri dan delegasi antarabangsa.
Kehadiran Hyypiä, pemenang Liga Juara-Juara UEFA itu, turut dimeriahkan dengan aksi peminat yang mengambil peluang membawa cenderahati rasmi kelab untuk ditandatanganinya.
Majlis makan malam itu turut menonjolkan peranan ASEAN-BAC dalam memperkukuh jaringan perniagaan serantau sambil memanfaatkan ikon budaya dan sukan untuk mempererat hubungan antara rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami