ASEAN gagal bertindak secara kolektif tangani isu serantau – Idris Jala

Kata Idris, negara anggota ASEAN masih bergerak secara berasingan dan tidak memanfaatkan kekuatan secara kolektif. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, menegur kelemahan ASEAN yang dilihat masih gagal berfungsi sebagai satu blok serantau yang benar-benar bersatu dalam menghadapi isu ekonomi dan cabaran bersama.
Ringkasan AI
- Idris Jala kritik kelemahan ASEAN sebagai blok serantau, menyatakan negara anggota masih bergerak secara berasingan dan gagal memanfaatkan kekuatan kolektif dalam isu ekonomi dan rundingan global.
- Beliau persoal kegagalan ASEAN berunding secara bersama dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat ketika isu tarif era Donald Trump, serta kegagalan menyelesaikan masalah jerebu yang berulang saban tahun.
- Idris gesa ASEAN ambil pendekatan lebih tegas dan kolektif dalam menangani isu perdagangan, ekonomi dan alam sekitar demi kredibiliti rantau di peringkat global.
Beliau mempersoalkan mengapa ASEAN tidak menggunakan kedudukannya sebagai blok serantau untuk berunding dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, terutama ketika pentadbiran Donald Trump memperkenalkan tarif yang memberi tekanan kepada rantau ini.
“Kenapa kita tidak gunakan peluang untuk mengadakan rundingan secara kolektif dengan Donald Trump dan Amerika Syarikat? Kita berunding secara berasingan, mengikut negara masing-masing. Jika berunding dengan AS sebagai sebuah negara sahaja, kita akan kalah,” tegasnya.
Idris menambah, ASEAN sepatutnya memanfaatkan kelebihan sebagai satu pasukan, bukan sekadar bergerak dalam perjanjian dua hala yang terhad.
“Jika kita semua bersatu dan bergerak sebagai satu blok, kita akan mendapat perjanjian yang jauh lebih baik,” katanya.
Beliau secara bersahaja turut mengkritik kegagalan ASEAN menyelesaikan isu jerebu yang berulang saban tahun meskipun punca masalah tersebut sudah diketahui umum.
“Setiap tahun kita hadapi masalah asap (jerebu). Kita tahu dari mana ia datang. Mengapa kita tidak dapat menyelesaikan masalah ini? Inilah masalah ASEAN,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ASEAN harus mengambil pendekatan lebih tegas dan kolektif dalam menangani isu perdagangan, ekonomi dan alam sekitar demi kredibiliti blok serantau itu di peringkat global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


