NATIONAL
ASEAN, GCC dan China punyai kekuatan tersendiri, boleh dimanfaatkan demi kemakmuran bersama - Anwar

ASEAN, GCC, dan China perlu memanfaatkan keunikan dan kekuatan masing-masing untuk membentu masa depan yang lebih terhubung, kata PM Anwar. - Sumber foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Pertemuan secara formal ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China, yang masing-masing kaya dengan sejarah mendalam, ketamadunan, budaya, dan perkongsian aspirasi, bakal membuka lembaran baharu dalam dialog dan kerjasama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sementara penglibatan dan mekanisme sedia ada telah berjalan, format ini mewujudkan ruang baharu untuk kerjasama, sewaktu meneroka laluan untuk menyatukan kekuatan masing-masing.
Dengan tema Sidang Kemuncak kali ini, - Menyepadukan Peluang Ekonomi ke Arah Kemakmuran Bersama, Anwar berkata ia selari dengan Pengerusian ASEAN oleh Malaysia, di bawah tema “Inklusiviti dan Kelestarian.
“Hubungan antara kita adalah mendalam dan berkekalan. Dari Laluan Sutera purba ke rangkaian maritim yang rancak di Asia Tenggara, hingga ke koridor perdagangan moden, rakyat kita telah lama berhubung melalui perdagangan, budaya, dan perkongsian idea.“Secara sejarahnya, pusat-pusat seperti Melaka (zaman Kesultanan Melayu Melaka) mencerminkan tradisi ini, berperanan sebagai persimpangan penting yang menghubungkan Timur dan Barat serta menunjukkan kekuatan keterbukaan, pertukaran dan kesalinghubungan strategik.
“Hari ini, ASEAN meneruskan legasi tersebut dalam skala yang lebih luas, muncul sebagai persimpangan dinamik bagi perdagangan global, inovasi dan peluang,” katanya sewaktu ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China ke-2 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu Anwar berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN pada 2023 mencecah AS$3.8 trilion, menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia, dan pada tahun yang sama, jumlah perdagangan dengan GCC bernilai AS$130.7 bilion, dengan aliran masuk FDI sebanyak AS$390.2 juta.
China, tambah Perdana Menteri lagi, kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$696.7 bilion dan FDI sebanyak AS$17.3 bilion.
“Angka-angka ini menunjukkan hubungan sedia ada yang kukuh serta potensi besar yang masih belum diterokai. ASEAN, GCC, dan China secara kolektif mewakili gabungan KDNK sebanyak AS$24.87 trilion dan populasi kira-kira 2.15 bilion.
“Skala kolektif ini menawarkan peluang besar untuk menyepadukan pasaran kita, memperdalam inovasi, dan menggalakkan pelaburan rentas wilayah. Dengan memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang ini, kita dapat meletakkan asas bagi pertumbuhan yang stabil, berdaya tahan dan mampan,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, beliau berharap Sidang Kemuncak itu bakal menjadi satu bab baharu dalam perjalanan ASEAN ke arah penglibatan yang berpandangan ke luar, menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila rakan-rakan bekerjasama dengan saling menghormati dan matlamat bersama.
Walaupun berdepan cabaran, Anwar melahirkan keyakinan bahawa ASEAN, GCC, dan China boleh memanfaatkan keunikan masing-masing dan membentuk masa depan yang lebih berhubung, lebih berdaya tahan, dan lebih makmur untuk generasi akan datang.
“ASEAN telah lama membuktikan bahawa semangat serantau yang berteraskan konsensus, hormat-menghormati dan keterbukaan boleh berjaya. Kita telah berkembang maju dalam hubungan jangka panjang dengan GCC dan China. Hari ini, kita mempunyai peluang untuk memperkukuh hubungan ini,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami