Nissan Teana baru-baru ini diiktiraf oleh pihak ASEAN NCAP sebagai kereta pertama yang mereka uji yang mendapat markah penuh (16.00 mata) untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), dan model pertama yang mendapat 5 bintang untuk Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP) dengan markah 88%.

Model generasi ke-3 ini telah terjual lebih daripada 600,000 unit di seluruh dunia, serta dilengkapi dengan 6 beg udara, Vehicle Dynamic Control (Pengawalan Kereta Dinamik), traction control, dan Active Understeer Control.

Pembeli di Malaysia boleh berasa yakin bahawa model Teana yang dijual Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) – dan dipasang secara CKD di kilang Tan Chong Motor Assemblies, Serendah – mempunyai spesifikasi sama dengan kereta yang diuji oleh pihak ASEAN NCAP.

Untuk tambahan, mengikut parameter yang digunakan ASEAN NCAP, semua varian Teana yang dijual di Malaysia iaitu 2.5 XV, 2.0 XL dan 2.0 XE mempunyai spesifikasi keselamatan yang sama.