NATIONAL
ASEAN tidak boleh berdiam diri dalam isu kemanusiaan global - Mohamad

Menurut Mohamad, ASEAN mempunyai suara dalam hal ehwal antarabangsa dan perlu menggunakannya dalam usaha membela golongan yang tertindas. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: ASEAN tidak boleh berdiam diri terhadap krisis global seperti kekejaman dan penindasan berterusan rejim Zionis terhadap penduduk di Gaza.
Ini kerana, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ASEAN mempunyai suara dalam hal ehwal antarabangsa dan perlu menggunakannya dalam usaha membela golongan yang tertindas.
Pada masa sama ujarnya, suara ASEAN perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam usaha menawarkan penyelesaian berasaskan prinsip dan undang-undang antarabangsa.
“Krisis global masih berlarutan. Kepungan sepenuhnya terhadap Gaza oleh rejim Israel telah mengakibatkan kebuluran dan kematian.“Kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin mencerminkan sikap tidak peduli masyarakat antarabangsa.
“Perkara ini membuktikan pencabulan berterusan terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.
Mohamad berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada Ahad.
Menyentuh isu dan krisis di peringkat serantau, Mohamad berkata, ASEAN telah menunjukkan keprihatinan dan mengambil tindakan susulan terhadap kejadian gempa bumi yang melanda Myanmar dan Thailand, baru-baru ini.
Ujarnya, tindak balas yang pantas ini mencerminkan semangat belas kasihan, solidariti dan kemanusiaan yang menjadi asas penubuhan ASEAN.
“Ia juga mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi keluarga ASEAN dalam menyokong Myanmar mendepani waktu yang sukar.
“Tragedi ini mengingatkan kita bahawa krisis tidak mengenal sempadan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Mohamad berkata, ASEAN menyeru pihak-pihak berkepentingan di Myanmar untuk menghentikan segala permusuhan, melanjutkan dan memperluas gencatan senjata.
Ini ujarnya, bagi memudahkan proses pemulihan dan mengurangkan penderitaan rakyat Myanmar yang kini berada di bawah pemerintahan Junta tentera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami