KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya gagal untuk mengetepikan perintah mahkamah yang menghalang mereka daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana aset mereka di Malaysia, masing-masing berjumlah AS$1.03 bilion dan AS$401.5 juta.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz yang menolak permohonan Jho Low dan Tan Sri Larry Low Hock Peng untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak semasa prosiding dalam talian hari ini.

Peguam 1MDB Siva Kumar Kanagasabai berkata mahkamah menolak permohonan kedua-dua mereka dengan kos RM5,000.

Beliau berkata mahkamah juga memberikan beberapa perintah tambahan termasuk penyampaian ke diri perintah antara pihak itu diketepikan, dan penyampaian dengan meninggalkan salinan di alamat terakhir kedua-dua mereka yang diketahui di Tanjung Bungah dan diserahkan kepada peguam mereka.

Siva Kumar berkata mahkamah turut memerintahkan Jho Low dan bapanya supaya mematuhi perintah pendedahan inter-parte Mareva (aset dan lokasi mereka) dalam tempoh 14 hari selepas perintah itu disampaikan melalui peguam mereka.

"Jika Jho Low dan bapanya tidak mematuhi perintah pendedahan Mareva antara pihak itu, mereka akan dihalang daripada didengar dalam prosiding, pembelaan mereka akan dibatalkan dan 1MDB akan bebas untuk memohon untuk membuat penghakiman terhadap mereka.

"Mahkamah juga membenarkan permohonan kami untuk meminda writ (saman) tetapi ia berkaitan dengan perkara kecil dalam pengiraan tuntutan. Pengurusan kes seterusnya telah ditetapkan pada 13 Jun," kata peguam itu ketika dihubungi.

Pada 15 Mac, Hayatul membenarkan permohonan injunksi Mareva oleh 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam saman 1MDB terhadap Jho Low, bapanya serta beberapa individu lain.

Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya daripada membelanjakan tidak lebih daripada RM20,000 sebulan bagi setiap perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guaman dan jika mereka mahu amaun yang lebih, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam-peguam 1MDB dan Global Diversified.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman US$3.7837 bilion terhadap Jho Low, bapanya, ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakak Jho Low, May Lin dan adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

-- BERNAMA