KUALA LUMPUR: Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) kelima Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail dilantik sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Negara.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, pelantikan Asma yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri, berkuat kuasa 23 Jun lepas sehingga tamat penggal beliau sebagai Presiden ASM pada 27 Dis ini.

Katanya pelantikan Asma adalah satu usaha untuk mengukuhkan tadbir urus kerajaan dalam bidang berkenaan.

"Penasihat STI Negara bertanggungjawab mengemukakan dasar, strategi, prosedur dan langkah-langkah bagi meningkatkan pencapaian dan kelestarian negara dalam bidang STI.

Beliau turut berperanan untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan saintis serta organisasi sains di dalam mahupun luar negara," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam kenyataan sama bahawa pengalaman Asma selama lebih 30 tahun dalam bidang sains sehingga ke peringkat antarabangsa, bersama sokongan jaringan pakar ASM akan menjadi sumber rujukan kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai isu semasa dengan lebih berkesan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Menurut Perdana Menteri pelantikan itu adalah tanggungjawab besar dan merupakan amanah yang perlu dilaksanakan sebaiknya ke arah merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Asma mencipta sejarah sebagai wanita pertama menjawat beberapa jawatan penting seperti Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (2014-2016); Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (2019-2021); Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2012 dan Universiti Sains Malaysia (USM) dari tahun 2016 hingga 2019.

Pada 24 Mac 2022, beliau menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-14.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Inter Academy Panel (IAP) berpusat di Itali yang dianggotai 102 negara, The Academy of Sciences for the Developing World (TWAS) dan The Islamic World Academy of Sciences.

Asma juga dipilih sebagai Ahli Kehormat Akademi Sains Perubatan Iran pada 2017.

-- BERNAMA