KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka peluang kepada pemunya tanah berdaftar, pemaju dan pihak awam mengemukakan permohonan perubahan terhadap penetapan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang kini berkuat kuasa sebagai dokumen rujukan utama pembangunan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pihak yang berhasrat berbuat demikian perlu mengemukakan Surat Niat kepada Jabatan Perancangan Bandaraya (JPRB), DBKL sebelum 5 petang, 10 Julai ini.
Beliau berkata, surat berkenaan perlu mengandungi justifikasi perubahan yang dicadangkan, pelan lokasi atau pelan tapak yang jelas dan dokumen hak milik tanah terkini bagi tapak yang dirujuk.
"Pelaksanaan perubahan terhadap pelan tempatan yang diwartakan merupakan satu langkah dinamik dengan mengambil kira keperluan penyelarasan dasar semasa serta cabaran ekonomi antarabangsa dalam konteks pembangunan dan perancangan bandar yang berterusan.
"Penetapan ini juga bertujuan memfokuskan mekanisme perancangan yang menyeluruh bagi membolehkan semakan semula zon guna tanah, intensiti pembangunan dan parameter kawalan pembangunan dilaksanakan secara sistematik sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 [Akta 267]," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadlun berkata, PTKL2040 diwartakan pada 28 Mei 2025 dan mula berkuat kuasa pada 11 Jun lepas ialah dokumen statutori yang menterjemahkan hala tuju strategik Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) kepada perancangan ruang bandar.
Beliau berkata, perubahan pelan tempatan tertakluk pada Seksyen 17(1) Akta 267 yang membenarkan Datuk Bandar pada bila-bila masa mencadangkan pindaan, semakan, pemansuhan atau penggantian keseluruhan atau sebahagian pelan tempatan yang telah diwartakan.
Beliau berkata, pemohon terlibat akan dimaklumkan tentang keperluan melantik Perancang Bandar Berdaftar bagi menyediakan Laporan Cadangan Perubahan Pelan Tempatan (LCPPT) mengikut skop permohonan yang dikemukakan.
Katanya, Manual Laporan Cadangan Perubahan Pelan Tempatan Kuala Lumpur boleh dicapai melalui portal Pelan Pembangunan Kuala Lumpur mulai hari ini.
Sementara itu, Fadlun berkata, DBKL turut memperkenalkan Garis Panduan Insentif Pelaksanaan Pembangunan Semula Kuala Lumpur yang baharu bagi menggantikan dan menambah baik ketetapan sedia ada berkaitan insentif pembangunan semula bandar.
Garis panduan itu, katanya, dibangunkan hasil penelitian semula terhadap Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur 2021 dan Garis Panduan Pecahan Insentif Pembangunan Semula di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023.
"Penambahbaikan ini dilaksanakan selaras dengan trend pembangunan serta dasar perancangan bandar semasa di Kuala Lumpur bagi memastikan pelaksanaan pembangunan semula dapat dilakukan dengan lebih teratur, jelas dan komprehensif serta mudah difahami oleh semua pihak berkepentingan," katanya.
Beliau berkata, garis panduan baharu itu akan diterima pakai dan berkuat kuasa mulai hari ini serta boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi DBKL, www.dbkl.gov.my.
-- BERNAMA