MALAYSIA
Aspek keselamatan sekolah antara tumpuan KPM dalam Belanjawan 2026 - Fadhlina

Fadhlina berkata, input Belanjawan 2026 turut memberi penekanan kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan inisiatif sokongan antibuli. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Aspek keselamatan sekolah antara perkara yang akan diberikan tumpuan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan 10 Okt ini di Dewan Rakyat.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan sekolah dalam Belanjawan 2026, selain pembangunan TVET, sokongan antibuli, agenda digital, Kurikulum 2027 dan pelan pendidikan baharu.
- Lebih 700 daripada 10,000 sekolah telah diaudit setakat ini bagi menilai tahap keselamatan, dengan laporan mingguan dikemukakan sebagai sebahagian daripada inisiatif KPM memperkukuh keselamatan sekolah dan asrama.
- Dewan Bahasa dan Pustaka memaklumkan bahawa Dekad Membaca Kebangsaan 2025 bertujuan membudayakan amalan membaca dan menyasarkan peningkatan bahan bacaan rakyat Malaysia kepada 50 judul setahun menjelang 2030.
"Secara keseluruhannya, pembentangan, permohonan dan permintaan kita dalam Belanjawan 2026 ini sangat menyeluruh dan pastinya mempunyai sasaran tertentu untuk terus meningkatkan serta memartabatkan kualiti pendidikan negara," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di sini, hari ini.
Pada Belanjawan 2025, KPM menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara telah diaudit setakat ini bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.
"Perjalanan itu masih jauh, tetapi perkembangan yang berlaku sangat positif dan kita akan umumkan sedikit masa lagi mengenai dapatan awal daripada audit ini," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan KPM mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu.
Langkah itu diambil sebagai sebahagian inisiatif memperkukuh aspek keselamatan di sekolah dan asrama.
Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan DMK 2025 merupakan inisiatif nasional yang dilaksanakan sejak 2021 hingga 2030 dengan aspirasi #MalaysiaMembaca, bertujuan membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat serta melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga 20 teratas negara pembaca dunia menjelang 2030.
"DMK dilaksanakan secara kolaboratif dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti masyarakat umum.
"Melalui usaha ini, kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia," menurut kenyataan itu.
DBP turut memaklumkan DMK menyasarkan peningkatan bahan bacaan rakyat Malaysia daripada purata 15 judul kepada 50 judul setahun menjelang 2030.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami