KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mahu projek berkeperluan mendesak dan berskala kecil yang boleh disiapkan segera diutamakan khususnya di bawah institusi pendidikan dan hospital.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek kecil ini perlu dilaksanakan dengan cekap, pantas, mengikut jadual dan penuh integriti agar dapat segera dinikmati rakyat.
Advertisement
Hajiji berkata Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merangkumi 1,233 projek atau program yang mencerminkan komitmen kerajaan bagi memastikan pembangunan negeri terus seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Saya mahu pemantauan lebih lebih kerap terhadap projek pembangunan yang dilaksanakan ini agar tidak berlaku kelewatan, selain sebarang isu pelaksanaan diteliti dan dirujuk kepada saluran tepat.
“Isu seperti peruntukan, tanah dan utiliti perlu ditangani segera agar tidak menjejaskan pelaksanaan projek khususnya yang memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata penekanan terhadap pelaksanaan segera itu selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu projek berskala kecil disegerakan kerana mampu memberi impak pantas kepada rakyat.
Beliau berkata laporan berkaitan projek yang tertangguh dalam mesyuarat penting bagi memastikan isu pelaksanaan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan dan kerajaan negeri memandang serius kelewatan projek kerana ia boleh menyebabkan peningkatan kos dan kerugian kepada kerajaan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2026 merupakan kesinambungan kepada agenda pembangunan di bawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0 bagi tempoh 2026-2030 memberi penekanan kepada usaha pembasmian kemiskinan sebagai tonggak utama bagi memastikan tiada rakyat terpinggir daripada arus pembangunan.
“Kejayaan pelaksanaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat manakala SMJ 2.0 menuntut perubahan berterusan dalam meningkatkan keupayaan serta mencipta nilai baharu untuk rakyat,” katanya.
Menerusi SMJ 2.0, katanya, Sabah masih menumpukan kepada sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan selain memastikan pertumbuhan ekonomi mampan, modal insan dan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, ia juga akan memastikan tiada rakyat yang tertinggal dalam arus pemodenan serta infrastruktur dan jaringan hijau dalam percepatkan penyelesaian isu bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya, katanya.
-- BERNAMA