KUALA LUMPUR: Tindakan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi vaksin AstraZeneca untuk kegunaan semasa bencana di tengah-tengah kontroversi sudah tentu mencetuskan pelbagai persoalan.

Sebelum ini dilaporkan, vaksin yang dikeluarkan bersama Universiti Oxford itu ditangguhkan sementara di beberapa negara seperti Eropah selepas beberapa dakwaan kes pembekuan darah dilaporkan.
 
Menjelaskan perkara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kelulusan ke atas vaksin itu diberikan hanya selepas melalui beberapa tapisan jawatankuasa teknikal dan pakar-pakar perubatan.

Beliau memberitahu, kelulusan bersyarat yang diberi PBKD adalah berdasarkan maklumat dan bukti saintifik  semasa. 

"Kita yakin dan percaya kepada jawatankuasa teknikal dan pakar-pakar. Memang benar terdapat laporan yang mengatakan berlakunya pembekuan darah di negara-negara Eropah, namun kita kena tengok dari segi epidemiologinya.

"Pada keadaan biasa pun akan berlaku masalah pembekuan darah dan sakit jantung kepada orang biasa. Kita kena lihat secara teliti kesan dan hubungannya.

"Namun demikian setakat ini belum dibuktikan secara tepat (menghubungkan perkara itu dengan vaksin AstraZeneca)," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini terus mengesyorkan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana manfaatnya mengatasi risiko walaupun terdapat penolakan penggunaannya secara meluas.

Ditanya mengenai kelulusan bersyarat, Dr Zainal menjelaskan, kelulusan itu diberi setelah pelaksanaan dijalankan dan mungkin akan ada maklumat baharu termasuk kesan sampingan dan keberkesanan yang didapati di peringkat lapangan kemudian.

"Ia akan dilihat semula jika ada masalah masalah-masalah yang boleh menyebabkan kesan sampingan keselamatan dan sebagainya. Itu yang dipanggil bersyarat, sentiasa disemak dan diubajsuai mengikut keadaan semasa," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya bersikap lebih terus menerangkan kesan sampingan mana-mana vaksin kepada masyarakat di lapangan.

"Apabila proforma banyak, masalah juga banyak. Jadi kerajaan kena telus dengan masyarakat," ujarnya.