Berita pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dan misteri di sebalik kehilangannya sejak 8 Mac lalu melonjakkan jenama Astro AWANI dalam carian utama bulan Mac di Google Malaysia.

Senarai carian Google Zeigeist diumumkan Google Malaysia Isnin lalu.

Pengguna internet seluruh dunia mendapatkan perkembangan terkini insiden tersebut di saluran Astro AWANI dan laman web rasmi www.astroawani.com untuk berita terkini dan maklumat sepanjang usaha pencarian pesawat tersebut.

Selain bersiaran langsung mulai pukul 6.30 pagi hingga 12.30 tengah malam, portal tersebut turut menyediakan analisis menyeluruh mengenai kehilangan pesawat MH370.

Di tangga kedua ada carian yang melibatkan misteri kehilangan pesawat MH370 seperti 'MH370 Latest News", "MH370 Australia" dan "Malaysia Airlines".

Pelakon kontroversi Hanez Suraya berada di tangga ketiga susulan skandal pelakon itu bersama suami orang.

Teori konspirasi yang mengaitkan misteri kehilangan MH370 antaranya Segitiga Bermuda, Pulau Perak dan rampasan muncul di tangga keempat pada Mac.

Di tangga kelima, pilihan raya kecil Kajang menarik perhatian ramai yang menyaksikan calon PKR Datin Seri Wan Azizah memenangi pilihan raya kecil tersebut.