Seramai 2,500 golongan istimewa di Kimanis Sabah diraikan oleh Astro Kasih yang terdiri daripada golongan asnaf, golongan ibu tunggal dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Mereka diraikan dalam satu Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran Astro Kasih bagi kawasan Parlimen Kimanis di Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut, pada Sabtu.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang juga Menteri Luar Negeri, di mana beliau juga telah menyaksikan penyampaian sumbangan khas aidilfitri daripada pihak Astro Kasih sebanyak RM50,000 untuk Tabung Khas Parlimen Kimanis yang disampaikan oleh Pengarah Astro, Datuk Mohamed Khadar Merican.

Datuk Mohamed Khadar dalam temu bual bersama Astro AWANI berkata, Astro Kasih merupakan satu usaha komited daripada pihak Astro untuk mendekati masyarakat dan seterusnya memberikan bantuan berupa Tanggunggjawab Sosial Korporat (CSR) selain itu Astro telah memberikan perkhidmatan percuma kepada pengguna dekoder NJOI untuk menikmati lebih 48 saluran dan ianya juga antara bukti Astro mengambil berat kepada golongan tidak bekemampuan.

“Program Astro Kasih ini sentiasa ada dan akan diteruskan dan kita akan menjelajah ke seluruh negara bagi mendekati masyarakat dan seterusnya membantu kepada golongan yang memerlukan, di Sabah ini khususnya kita telah datang beberapa kali seperti di Sungai Manila Sandakan dan juga telah menyampaikan dan membina hostel asrama buat pelajar di SMK Magandai di kawasan pedalaman yang pastinya akan dapat banyak membantu,” katanya.


Dalam pada itu, Datuk Seri Anifah Aman ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut selepas acara penyampaian duit raya kepada 2500 orang berkata, Astro sememangnya amat sebati dengan rakyat Sabah dan Astro telah terbukti sebagai sebuah syarikat penyiaran yang telah berjaya membawakan banyak perkembangan dari dalam dan juga luar Negara kepada penonton di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

“Astro ini bukanlah satu nama asing di negeri Sabah Astro ini memang sinonim di negeri ini dan dimana juga rumah dan kawasan saya pergi pastinya ada Astro dan ini penting kepada rakyat ,termasuk di kawasan pedalaman untuk terus menerima dan mengikuti perkembangan semasa melalui saluran yang dipancarkan oleh Astro,”katanya.

Anifah juga menambah, dengan kewujudan Astro hampir 20 tahun di negara ini, telah banyak yang disumbangkan oleh pihak Astro.

Majlis Jalinan Kasih ini bermula daripada pukul 9 pagi dan dihadiri oleh lebih lima ribu orang ramai dan penduduk sekitar parlimen Kimanis.

Selain dihidangkan dengan pelbagai juadah enak dan menarik, orang ramai yang hadir juga berpeluang menyaksikan persembahan daripada artis-artis terkenal seperti Marsha Milan, Mawi, Aida Jebat , Nash dan ramai lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut, ADUN Membakut, Datuk Ariffin Arif, ADUN Bongawan, Datuk Mohamad Alamin, Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro, Datuk David Micheal Yap, Timbalan Presiden ,Jualan Kawasan, Sabah dan Sarawak, Alison Lau dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johny Mositun.