MALAYSIA
ATM sertai lawatan diplomatik ketenteraan di sempadan Kemboja-Thailand

Lawatan turut disertai wakil daripada beberapa kuasa besar dunia dan negara jiran lain. - Foto Facebook/ATM
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Rabu menyertai delegasi lawatan diplomatik ketenteraan yang dijemput untuk meninjau kawasan panas di sempadan Kemboja-Thailand yang dilaporkan berdepan ketegangan rentas sempadan.
ATM menerusi hantaran media sosial memaklumkan lawatan itu khususnya di zon Anlong Veng-Phnom An Ma (Chong An Ma) mencerminkan komitmen Malaysia terhadap diplomasi pertahanan serantau dan peranan aktif dalam usaha membina keyakinan serta ketelusan antara negara anggota ASEAN.
"Lawatan turut disertai wakil daripada beberapa kuasa besar dunia dan negara jiran lain termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Rusia, Korea Selatan, Australia, Indonesia, Filipina, Singapura, Laos, Vietnam dan Myanmar.
"Menurut laporan media tempatan di Kemboja, kerajaan negara itu mengambil inisiatif menjemput perwakilan ketenteraan asing sebagai langkah menunjukkan keterbukaan serta keyakinan terhadap pendirian mereka bahawa tiada pelanggaran sempadan berlaku," menurut ATM.Menurut hantaran itu, Kemboja sebaliknya menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil adalah demi menjamin keselamatan wilayahnya sendiri.
"Zon Chong An Ma sebelum ini pernah menjadi titik pertikaian antara Kemboja dan Thailand, terutamanya semasa insiden melibatkan Kuil Preah Vihear.
"Dalam konteks ini, penganjuran lawatan pemerhatian oleh pihak Kemboja dilihat sebagai sebahagian daripada strategi perang maklumat dan diplomasi ketenteraan untuk membina naratif yang memihak kepada mereka di peringkat antarabangsa," menurut hantaran itu.
ATM memaklumkan setakat ini tiada kenyataan balas rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand mengenai langkah tersebut dan Malaysia seperti negara lain yang dijemput juga masih belum mengeluarkan kenyataan awam berhubung dapatan daripada lawatan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Panglima ATM Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Thailand dan Kemboja sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik serantau.
"Lawatan ini menyusuli pengumuman gencatan senjata serta-merta antara Thailand dan Kemboja yang dicapai menerusi Mesyuarat Khas yang dianjurkan oleh Malaysia bersama kedua-dua negara jiran tersebut," menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami