MALAYSIA
RMK13 angkat martabat Malaysia di persada dunia - Mohamad Hasan

Mohamad berkata, pendekatan diplomasi MADANI akan terus diterapkan dalam menangani isu kemanusiaan dan hak asasi manusia, berpaksikan kemuliaan insan serta keadilan sejagat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai pelan strategik yang memperkasa kedudukan Malaysia dalam diplomasi global, sekali gus menjadikan negara lebih dihormati dan dipercayai di peringkat antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melalui prakarsa kelima yang digariskan, Malaysia memberi tumpuan untuk meningkatkan keterlibatan dalam ekonomi dunia secara lebih menyeluruh, berprinsip dan berdaya tahan.
“RMK13 menggariskan wawasan pembangunan nasional yang berpandangan jauh. Ia turut memperkukuh peranan Malaysia dalam menjayakan agenda diplomasi yang konstruktif, berlandaskan nilai universal serta keadilan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menyambut baik penekanan terhadap Prakarsa Kelima dalam RMK13 iaitu memperhebat penglibatan Malaysia dalam ekonomi dunia, seiring dasar luar negara yang mengutamakan kedaulatan serta kerjasama serantau dan global.“Antara tumpuan utama ialah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ASEAN, APEC, BRICS dan OIC, dengan pendekatan berprinsip dan suara yang lantang dalam memperjuangkan kepentingan negara membangun,” jelas beliau.
Mohamad berkata, Malaysia juga komited untuk menjadi hab serantau pelaburan, teknologi dan bakat, termasuk melalui inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) serta ASEAN Connectivity by Rail.
Menurutnya, usaha memartabat diplomasi ekonomi dan teknologi turut diberi perhatian menerusi agenda Semikonduktor Nasional, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu.
“Dalam masa sama, Malaysia akan memperluas jaringan diplomatik ke pasaran baharu seperti BRICS, Afrika dan Asia Tengah. Ini mampu memperkukuh eksport, pelaburan serta pengantarabangsaan sektor strategik seperti halal, francais dan ekonomi digital,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan keperluan memodenkan kemudahan lintas sempadan termasuk menaik taraf ICQS dan pelabuhan darat selaras dengan pendekatan diplomasi sempadan yang lebih cekap.
“Malaysia akan terus menjadi suara bagi keadilan global, pemudah cara damai dan rakan strategik dalam dunia yang semakin mencabar dari sudut geopolitik dan ekonomi,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan diplomasi MADANI akan terus diterapkan dalam menangani isu kemanusiaan dan hak asasi manusia, berpaksikan kemuliaan insan serta keadilan sejagat.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami