BUKIT KAYU HITAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini melalui dua laluan di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, pada Ahad.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataannya berkata, kesemua PATI warga Myanmar dan Thailand itu ditahan di kawasan Bukit Kayu Hitam, Kedah di bawah Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Tangkapan pertama dilakukan ke atas tujuh orang PATI warga Myanmar pada jam 11.15 pagi.

“Kesemua mereka dikesan anggota ketika melakukan rodaan di sempadan ternampak sekumpulan individu yang mencurigakan bergerak masuk dari arah pagar sempadan dan bersembunyi di kawasan semak dalam kebun getah.

"Kesemua mereka ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan berusia antara 14 hingga 47 tahun,” katanya.

Sementara tangkapan kedua sepasukan anggota daripada pasukan serang dan tangkap (Serkap) ternampak kelibat sekumpulan individu melintasi sempadan di kawasan ladang getah pada jam 5.18 petang.

Seramai lima PATI warga Myanmar dan seorang warga Thailand berusia 18 hingga 38 tahun ditahan.

Pemeriksaan lanjut ke atas lima lelaki dan seorang wanita ini tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menerusi dua tangkapan itu pihak ATM turut merampas lima buah telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Honda Wave 125, wang tunai dalam matawang Myanmar dan Thailand serta 13 beg pakaian dimana keseluruhan rampasan bernilai RM5,209.

Kesemua PATI terbabit diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.