ATM terima imej positif sepanjang PKP - Panglima Angkatan Tentera

Fareez Azman
September 10, 2020 09:46 MYT
ATM bukan hanya berjaya mengurangkan kes penyeludupan, malah kehadiran pasukan itu ujar Affendi turut menerima impak positif daripada rakyat. - Gambar fail/BERNAMA
Aktiviti penyeludupan barangan terlarang serta sindiket Pendatang Tanpa Izin (PATI) berjaya dipatahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Benteng dibawah National Task Force (NTF) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, tangkapan demi tangkapan dilakukan anggota ATM setiap hari di sempadan negara sekaligus berjaya menyekat aktiviti haram itu.
"Alhamdulilah Op Benteng berjaya menyekat kemasukan mereka (PATI), pada masa sama dalam melakukan Op Benteng banyak benda lain kita sekat terutama di kawasan sempadan, aktiviti penyeludupan telah dapat kita kurangkan dengan begitu drastik.
"Aktiviti penyeludupan secara kecil-kecilan memang sah berlaku, mereka (PATI) ini dikesan dengan cara kita menggunakan peralatan dan sistem radar sebelum mereka ditahan," kata beliau dalam sidang media khas Hari ATM ke-87 di Wisma Pertahanan di ibu negara pada Khamis.
Ujarnya lagi, ATM bukan hanya berjaya mengurangkan kes penyeludupan, malah kehadiran pasukan itu ujar Affendi turut menerima impak positif daripada rakyat terutama ketika melakukan tugasan sekunder di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan
"Kehadiran pasukan tentera telah memberi satu impak yang keberkesanan PKP ini, kita telah dapat membantu dengan begitu baik.
"Kedua, kita telah dapat memberi satu pandangan positif terhadap masyarakat, bahawa apabila kita masuk beri bantuan apa-apa kejadian, kita tidak pernah guna kekerasan.
"Cuma dalam keadaan memerlukan terutama dalam penguatkuasaan undang-undang, ada masa kemungkinan kita perlu gunakan kekerasan," kata Panglima Angkatan Tentera itu lagi.
#anggota #Angkatan Tentera Malaysia #ATM #Hari ATM ke-87 #Jeneral Tan Sri Affendi Buang #Panglima Angkatan Tentera #pati #perintah kawalan pergerakan #PKP #rakyat #tentera #undang-undang