Audit dan siasatan cukai adalah untuk mendidik, bukan menakutkan pembayar cukai

Audit dan siasatan cukai dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi pendidikan, kesedaran dan pematuhan sukarela.
KUALA LUMPUR: Audit dan siasatan cukai yang dilakukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bukan bertujuan menakutkan pembayar cukai, sebaliknya dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi pendidikan, kesedaran dan pematuhan sukarela selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
Pengarah Bahagian Dasar dan Kualiti Audit Cukai Sektor Pematuhan Cukai HASiL Jema'ah Sedek berkata pendekatan baharu itu, memberi penekanan kepada elemen Awareness, Education and Services (AES) dengan pegawai turun padang bukan hanya untuk menyemak dokumen, tetapi juga memberi khidmat nasihat dan penerangan kepada pembayar cukai.
"Proses audit dan siasatan bukanlah satu 'hukuman' atau 'tindakan sebelah pihak', tetapi ia satu proses yang adil dan seimbang. Dalam erti kata lain, HASiL sebagai pentadbir cukai bukan sahaja menuntut pembayar cukai memenuhi tanggungjawab, malah memastikan hak-hak mereka dipelihara," katanya.
Beliau yang berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, turut menjelaskan bahawa HASiL menggunakan sistem analisis risiko dan pelbagai sumber maklumat bagi memilih kes audit atau siasatan.
Perkara itu termasuk termasuk laporan pihak ketiga, aduan awam serta pemantauan corak gaya hidup berbanding pendapatan yang diisytiharkan.
Beliau berkata jika audit menumpukan semakan pematuhan, siasatan pula dijalankan terhadap kes berisiko tinggi yang melibatkan pengelakan atau pelarian cukai, termasuk kes di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
"HASiL kini memanfaatkan kerjasama dengan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk memperkukuh risikan terhadap aktiviti kewangan mencurigakan, termasuk transaksi lintas sempadan," katanya.
Jema'ah berkata pembayar cukai juga mempunyai hak jelas semasa proses audit dan siasatan, termasuk hak mengenal pasti pegawai, melantik ejen cukai bertauliah serta mengakses semula dokumen mereka yang diambil untuk semakan.
Pada masa sama, mereka diingatkan agar tidak memberi sebarang hadiah atau bayaran kepada pegawai bagi mengelakkan konflik kepentingan.
"Jangan terus panik atau anggap dipilih untuk audit bermakna kita buat salah. Audit dan siasatan ini hanyalah sebahagian daripada proses semakan biasa yang dibuat oleh HASiL untuk pastikan maklumat percukaian kita betul. Kalau semuanya dilaporkan dengan tepat, tak ada apa yang perlu dirisaukan," katanya.
Beliau turut menasihati pembayar cukai agar menyimpan rekod kewangan dengan baik, mengemas kini maklumat perhubungan dan berhubung terus dengan HASiL sekiranya memerlukan panduan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


