KUALA LUMPUR: Pengurusan projek pembangunan Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) adalah kurang memuaskan, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 Siri 1.

Laporan yang dikeluarkan hari ini menyatakan pengurusan projek itu tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan memandangkan pembinaan lewat disiapkan selama 24 bulan.

Kelewatan dalam pemberimilikan tanah juga menyebabkan Perjanjian Pajakan bagi Fasa 2 tidak dapat ditandatangani seterusnya menjelaskan proses pajakan kecil kepada kerajaan.

Selain itu, pembayaran AC bagi Fasa 2 berjumlah RM23.84 juta telah dibayar dan tidak selari dengan klausa perjanjian seperti ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi, menurut laporan itu.

Selain itu, laporan itu juga mendapati Kementerian Dalam Negeri tidak mewujudkan sebarang mekanisme dalam mengukur tempoh masa yang diambil bagi setiap kenderaan yang melalui ICQS Bukit Kayu Hitam menyebabkan ia tidak dapat menilai sama ada tahap kecekapan dan kepantasan pihak berkuasa ketika pelepasan kenderaan berat melepasi sempadan berjaya ditingkatkan.

Pembinaan Kompleks ICQS bertujuan mengatasi masalah kesesakan trafik yang menjejaskan perdagangan antara sempadan negara dan membantu meningkatkan kecekapan serta kepantasan pihak berkuasa ketika pelepasan kenderaan berat melepasi sempadan.

Menurut laporan itu analisis audit terhadap data bilangan kenderaan masuk dan keluar Malaysia secara bulanan bagi 2017 hingga April 2021 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menunjukkan peningkatan trend purata harian kenderaan berat keluar dan masuk negara sebelum dan selepas projek siap iaitu antara 206 hingga 531 kenderaan sehari.

"(Namun) pihak audit mendapati bilangan trafik bagi tempoh tahun 2017 sehingga bulan Jun 2019 tidak menunjukkan impak yang ketara. Kesesakan trafik lalu lintas Kompleks ICQS bergantung kepada tempoh masa yang diperlukan bagi setiap kenderaan semasa melalui proses keluar masuk," menurut laporan itu.

Teguran Laporan Ketua Audit Negara itu mendapat respon KDN pada 3 Sept lepas yang menyatakan peningkatan kenderaan keluar masuk melalui kompleks itu hanya boleh dinilai selepas fasa 2 siap sepenuhnya.

"Perkara ini disebabkan penggunaan kompleks berkenaan hanya pada separuh kapasiti selepas fasa 1 siap kerana laluan masuk ke Malaysia perlu berkongsi dengan laluan keluar ke Thailand sehingga fasa 2 siap.

"Keadaan ini menyebabkan tiada impak yang ketara dari segi bilangan trafik bagi tempoh 2017 sehingga Jun 2019 berbanding semasa kompleks lama digunakan," menurut laporan itu.

-- BERNAMA