KOTA BHARU: Objektif penubuhan Akademi Yakin Sdn Bhd (AYSB), didapati tidak dicapai sepenuhnya berdasarkan pengauditan yang dilaksanakan terhadap tadbir urus korporat, aktiviti utama syarikat dan kedudukan kewangan syarikat kerajaan negeri itu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai pengurusan syarikat kerajaan negeri Kelantan Tahun 2020 Siri 1, memaklumkan aspek tadbir urus korporat AYSB secara umumnya adalah memuaskan, namun terdapat beberapa tindakan penambahbaikan perlu dilaksanakan selaras dengan amalan terbaik yang disarankan.

Laporan yang dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini menjelaskan AYSB telah menyumbang dana berjumlah RM4.37 juta kepada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) melalui pendapatan yang diperoleh hasil daripada aktiviti usaha sama AYSB.

"Dari segi keberhasilan, AYSB telah mencapai sasaran pendapatan yang ditetapkan dan dapat membantu dalam perkembangan KIAS. Selain itu, AYSB juga telah memberikan sumbangan kewangan kepada kerajaan Kelantan.

"Dari segi pengurusan aktiviti, projek pembangunan secara usaha sama adalah kurang cekap kerana projek tidak dilaksanakan sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian," menurut laporan berkenaan.

Laporan turut memaklumkan AYSB mengalami pengurangan hasil berjumlah RM5.73 juta yang disebabkan oleh perubahan kadar sewaan dan pendahuluan tunai yang dibayar oleh kontraktor bagi 2017 dan 2020.

"Kedudukan kewangan AYSB berada pada tahap stabil dengan keuntungan terkumpul berjumlah RM13.73 juta pada akhir 2020.

"Ketua Eksekutif yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan dan mesyuarat penutup juga telah diadakan untuk membincangkan penemuan audit serta mendapatkan penjelasan dan maklum balas terhadap isu-isu berbangkit," menurut laporan itu.

-- BERNAMA