Projek pembinaan Kompleks Pakar dan Pusat Jagaan Ambulatori (SCACC) Hospital Kuala Lumpur (HKL) lewat disiapkan kerana masalah bekalan elektrik dan kes kebakaran, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1.

Menurut laporan itu, kontraktor yang dilantik memohon masa lanjutan berikutan masalah tersebut berada di luar kawalan mereka ketika pembinaan sedang dilakukan.

"Berdasarkan maklum balas Jabatan Kerja Raya (JKR), kelewatan bekalan elektrik disebabkan permit pengorekan jalan yang lewat diperoleh.

"Bangunan pencawang telah diserah milik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 16 Mei 2011 dan cas sambungan telah dijelaskan pada 29 Julai 2011. Permohonan permit pemotongan jalan pula telah dikemukakan TNB kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 17 Oktober 2011.

"Kejadian kebakaran pada 14 Mei 2012 pula adalah disebabkan 'kebakaran tidak disengajakan", di mana kontraktor dan kerajaan tidak boleh dipersalahkan atas kejadian tersebut," demikian menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan Ketua Audit turut menyebut, mengikut syarat kontrak, projek perlu disiapkan pada 14 Disember 2011 iaitu dalam tempoh 30 bulan daripada tarikh pemilikan tapak pada 15 Jun 2009.

"Projek ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual di mana kontraktor telah diluluskan dua lanjutan masa selama 338 hari disebabkan faktor tersebut.

"Projek akhirnya disiapkan pada 31 Oktober 2012 dan bangunan SCACC mula diduduki keesokannya," menurut laporan itu.

Audit kemudian mengesyorkan JKR dan SCACC supaya memastikan kerja pembinaan dibuat sempurna dan mematuhi peraturan ditetapkan termasuk kerja pembaikan perlu diselesaikan dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan bangunan yang diduduki kondusif dan selamat.

Sementara itu, Audit turut mendapati tempoh pemeriksaan dan rawatan pesakit Klinik Bergerak 1Malaysia (KB1M) menggunakan bas dan bot di kawasan terpinggir, masih kurang memuaskan.

Laporan itu menyebut, ia sekali gus memberi kesan terhadap skop perkhidmatan kesihatan yang boleh dilaksanakan dan memberi imej kurang baik kepada Kementerian Kesihatan dan kerajaan.

Laporan itu turut melampirkan bukti bergambar seperti jeti kayu yang menghubungkan pesakit dengan KB1M Bot Sungai Kinabatangan Kampung Abai yang tidak selamat kepada pesakit khususnya wanita mengandung, yang membawa anak kecil, kanak-kanak serta orang tua.

Audit kemudian mengesyorkan kementerian memberi perhatian lebih kepada kesesuaian tempat dan kenderaan bagi memastikan perkhidmatan klinik bergerak (PKB) berjalan lancar, teratur dan kondusif.

Menurut Audit, aspek keselamatan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan risiko kemalangan di lokasi PKB dan mereka yang menggunakan pengangkutan air tersebut.