Australia berminat bekerjasama membantu Sabah membangunkan tenaga kerja negeri itu, terutama sekali di dalam industri minyak dan gas.

Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Suruhanjaya Perdagangan Australia (Austrade) bagi Brunei dan Sabah, Josie Abdullah berkata hubungan Malaysia-Australia di dalam bidang pendidikan adalah kukuh dan Australia boleh menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan Sabah bagi membangunkan industri minyak dan gas.

"Matlamat kami ialah bagi melihat bagaimana Australia boleh bekerjasama dengan Sabah untuk membantu mengembangkan industri minyak dan gas di dalam membangunkan sektor hiliran dan huluan."

"Australia sudah mempunyai syarikat minyak dan gas seperti ROC Oil dan AWE Ltd di dalam urus niaga itu di Malaysia, jadi, saya yakin kami boleh menyediakan bantuan untuk membangunkan industri minyak dan gas Sabah," katanya pada taklimat mengenai perkembangan terbaharu industri minyak dan gas Sabah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Kanan Austrade bagi Malaysia dan Brunei, Susan Kahwati berkata penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) berkuat kuasa 1 Jan, 2013, akan mengintegrasikan lagi ekonomi Australia ke dalam rantau Asia yang pantas berkembang.

"Malaysia adalah rakan perdagangan ketiga terbesar Australia di dalam rantau Asean yang mencatatkan perdagangan dua hala bernilai kira-kira RM55 bilion pada tahun kewangan 2011/2012."

"Pelaksanaan MAFTA akan membolehkan akses bebas cukai kepada semua barangan di dalam kedua-dua negara," katanya.