KUALA LUMPUR: Stigma halus dan kekangan sistem terus menjadi antara cabaran utama yang dihadapi individu autistik, khususnya apabila melangkah ke dunia pekerjaan.
Pengasas Autism Cafe Project, Mohd Adli Yahya berkata, masih wujud persepsi negatif dalam kalangan masyarakat yang menganggap individu autistik sebagai tidak berkemampuan dan menjadi beban.
Advertisement
Menurut beliau, situasi itu menyukarkan mereka untuk kekal bekerja dalam tempoh panjang, dengan kebanyakan hanya mampu bertahan antara dua hingga tiga bulan sebelum diberhentikan.
“Selalunya orang pandang rendah… mereka dianggap tak pandai dan jadi beban. Bila kita latih mereka bekerja, bila dah pandai kita lepaskan ke tempat lain, tapi kebanyakan dalam dua hingga tiga bulan kena buang,” katanya.
Berikutan itu, beliau mengubah pendekatan dengan tidak lagi melatih individu austistik sebagai pekerja, sebaliknya sebagai usahawan kecil yang boleh menjana pendapatan mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.
Melalui Autism Cafe Project, mereka dilatih menghasilkan produk makanan mudah seperti karipap, kek cawan dan biskut, sebelum diberi pilihan untuk bekerja di kafe atau dari rumah dalam persekitaran yang lebih selesa.
Adli berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan diri, malah membolehkan mereka menjana pendapatan mencecah ribuan ringgit.
“Bila mereka bekerja di rumah, dalam persekitaran yang selesa dan dibantu keluarga, mereka jadi lebih seronok dan konsisten. Kita ikut kekuatan mereka, bukan paksa mereka ikut sistem,” ujarnya.
Tambah beliau, individu autistik juga mempunyai kelebihan tersendiri seperti keupayaan bekerja secara berstruktur dan konsisten, yang boleh dimanfaatkan dalam penghasilan produk secara pukal.
Dalam pada itu, beliau berpandangan inisiatif latihan sedia ada perlu diperluas agar lebih inklusif, termasuk memberi perhatian kepada individu autistik berfungsi rendah yang sering terpinggir.
“Saya rasa apa yang kerajaan buat sekarang bagus, tapi pelaksanaan itu perlu menyeluruh. Banyak program fokus kepada high-functioning autism, tapi bagaimana dengan yang lain?” katanya lagi.
Perkongsian itu membuka perspektif bahawa cabaran sebenar individu autistik bukan sahaja terletak pada keadaan mereka, tetapi juga pada sistem dan masyarakat yang masih belum sepenuhnya bersedia untuk menerima dan menyokong mereka secara inklusif.