SHAH ALAM: Avisena Women's & Children's Specialist Hospital (AWCSH) kini dijenamakan semula sebagai Avisena Specialist Hospital 2 (ASH2), selaras dengan langkah Avisena Healthcare memperluaskan perkhidmatan rawatan pakar dan menjadikan Shah Alam sebagai pusat utama rangkaian penjagaan kesihatannya.
Sejak memulakan operasi pada Mei 2019 sebagai hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak, hospital itu telah membina reputasi dalam menyediakan rawatan pakar yang menyeluruh, berteraskan keperluan pesakit serta layanan yang prihatin.
Penjenamaan semula itu mencerminkan perkembangan ASH2 menjadi hospital multidisiplin yang menawarkan lebih banyak perkhidmatan kepakaran kepada pesakit daripada semua peringkat umur, tanpa mengabaikan tumpuan terhadap kesihatan wanita dan kanak-kanak.
Sebagai sebahagian daripada transformasi itu, ASH2 memperkenalkan lapan perkhidmatan kepakaran baharu iaitu Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), ortopedik, perubatan dalaman, pembedahan am, pembedahan plastik, urologi, oftalmologi dan dermatologi.
Hospital itu turut menerima penambahan 12 pakar baharu bagi meluaskan keupayaan rawatan dan memastikan penjagaan pesakit yang lebih menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Healthcare, Elina Nadia Omar berkata, penjenamaan semula itu merupakan langkah penting dalam mengembangkan rangkaian perkhidmatan kumpulan selain memudahkan akses masyarakat kepada rawatan pakar.
"Sebagai sebuah hospital multidisiplin, kami memperluaskan keupayaan untuk menawarkan lebih banyak pilihan rawatan sambil terus mengekalkan fokus terhadap penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak.
“Ini membolehkan kami memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pesakit daripada pelbagai peringkat umur tanpa mengabaikan kekuatan utama kami,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Sehubungan lokasi Avisena Specialist Hospital (ASH) dan ASH2 yang kedua-duanya terletak di Seksyen 14, Shah Alam, Avisena Healthcare kini menawarkan rangkaian perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada komuniti di Shah Alam dan Klang melalui dua hospital pakar yang saling melengkapi.
Dalam usaha memperluaskan lagi perkhidmatan, ASH2 dijadual memperkenalkan perkhidmatan onkologi khusus pada tahun ini, termasuk penubuhan Women's Cancer Centre, yang menyediakan rawatan kanser khusus untuk wanita daripada peringkat saringan dan diagnosis sehingga rawatan serta penjagaan sokongan.
"Women's Cancer Centre akan memperkukuh ekosistem kesihatan wanita multidisiplin Avisena Healthcare dengan menyediakan akses yang lancar kepada saringan, diagnosis, rawatan dan penjagaan sokongan kanser.
“Melalui kerjasama rapat antara pakar, pasukan kejururawatan dan profesional kesihatan bersekutu, kami berhasrat menyampaikan rawatan kanser yang terselaras dan berpusatkan pesakit bagi menyokong wanita pada setiap peringkat perjalanan rawatan mereka,” jelasnya.
Selain perluasan perkhidmatan di ASH2, Avisena Healthcare turut membangunkan menara baharu di Avisena Specialist Hospital yang dijangka siap pada Februari 2027. Apabila siap kelak, kapasiti keseluruhan hospital kumpulan itu di Shah Alam akan meningkat kepada 418 katil.
Dalam masa sama, kumpulan itu turut merancang pembinaan sebuah Avisena Specialist Hospital baharu di Cyberjaya yang disasarkan siap menjelang 2029.
"Strategi jangka panjang kami tertumpu kepada pengukuhan ekosistem penjagaan kesihatan bersepadu sambil memastikan pesakit terus menerima akses yang lancar kepada rawatan pakar.
“Dengan menghimpunkan pelbagai disiplin di bawah satu bumbung, kami dapat menyediakan pengalaman rawatan yang lebih terselaras kepada pesakit dan keluarga mereka," tambah Elina.
Penjenamaan semula kepada Avisena Specialist Hospital 2 mencerminkan usaha berterusan Avisena Healthcare dalam memperluaskan perkhidmatan rawatan pakar sambil mengekalkan komitmen terhadap penyampaian penjagaan kesihatan yang komprehensif, mudah diakses dan mengetengahkan kebajikan pesakit.