KUALA LUMPUR:SEPERTI yang kita tahu, penularan COVID-19 masih belum berakhir dan Malaysia bukan satu-satunya negara yang giat berusaha untuk membendung dan memerangi virus pembunuh ini daripada terus menular dalam kalangan rakyat.

Akan tetapi, ada segelintir pihak yang berpendapat jika Malaysia ingin memulihkan ekonomi daripada kesan pandemik ini, negara juga memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

Dari sudut landskap politik negara, pelaksanaan pilihan raya juga dilihat penting bagi memberikan mandat kukuh kepada kerajaan sebagai salah satu langkah dalam pemulihan Malaysia pasca COVID-19.

Oleh itu, Astro AWANI menerusi platform media sosial Twitter cuba mendapatkan suara rakyat berhubung perkara itu.

Berdasarkan pungutan suara yang dilakukan di laman Twitter pada Rabu, ramai dalam kalangan pembaca Astro AWANI berpendapat bahawa mereka tidak bersedia untuk menempuh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara sedang memerangi COVID-19.

Rata-rata, 86.2 peratus daripada 6,344 responden menyatakan mereka tidak sedia jika PRU15 dilaksanakan ketika negara berdepan pandemik COVID-19, sementara sementara 13.8 peratus lagi berpendapat sebaliknya.


Dalam pada itu, ramai pembaca juga turut menyatakan bahawa PRU15 tidak wajar disegerakan.

Sebanyak 73 peratus daripada 20,525 responden menyatakan ‘Tidak’, sekiranya PRU15 dilaksanakan dalam tempoh terdekat, manakala 27 peratus lagi menyatakan ia wajar dilakukan.


Di ruangan komen, ramai yang menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan COVID-19 akan melonjak jika PRU15 dilaksanakan.

Jelas Nurnuqman Mazlan [ @nuqmanmazlan3 ], isu politik perlu ditolak tepi dan kerajaan perlu memberi sepenuh perhatian kepada keselamatan dan kebajikan rakyat.

“Isu-isu politik perlu ditolak tepi dan memberi sepenuh perhatian kepada keselamatan dan kebajikan rakyat,” tulis Nurnuqman.


Malah, kata pengguna Twitter, Nazrin Ahmad [ @imnazrinahmad ], jika PRU15 dilaksanakan dalam masa terdekat, ia akan meletakkan nyawa rakyat dalam bahaya.

“COVID-19 gelombang kedua ini adalah dari jenis virus “super-spreader”. Ia merebak 10 kali lebih cepat dari yang sebelum ini. Jika PRU15 dilaksanakan dalam masa terdekat, ia boleh meletakkan nyawa rakyat sebagai taruhan demi kepentingan diri sendiri dalam berpolitik, tulis Nazrin di laman Twitter.


Selain itu, kata Daniel S. Kang [ @danielkng ], semua pihak perlu mengambil contoh situasi yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Jelasnya, banyak kluster baharu mula muncul susulan pilihan raya diadakan dalam situasi pandemik COVID-19.

“Just look at what is happening after the PRN in Sabah. New clusters mushrooming everywhere. Can we control it? Is it the precursor of a 2nd wave?,” tulis Daniel.


Malah, ada yang berpendapat bahawa sebarang keputusan perlu mengambil kira nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah terlebih dahulu.

“Keputusan biarlah ambil kira nasihat @DGHisham , pada saya sudah tentu TIDAK!,” tulis pemegang akaun #LawanSampaiMenang [ @save_malaysia ].


Berikut antara komen-komen lain yang sempat kami kumpulkan: