KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima sebarang mesej pesanan sama ada melalui sistem pesanan ringkas (SMS) mahupun platform pemesejan lain yang menawarkan perkhidmatan melepaskan orang kena tahan (OKT) yang dipercayai mempunyai hubungan pekerjaan dengan mereka.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata pihaknya mendapati terdapat penyalahgunaan identiti yang mana ada pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasi maklumat untuk tujuan penipuan yang melibatkan wang ringgit.

"Untuk makluman, hebahan melalui SMS mahupun platform pemesejan serta panggilan telefon berkaitan transaksi di dalam perkhidmatan Imigresen Kuala Lumpur tidak sama sekali diguna pakai dan urusan adalah hanya melalui panggilan telefon rasmi di talian 03-62057400 ataupun alamat-alamat e-mel rasmi iaitu @imi.gov.my sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata penafian ini dikeluarkan sejajar dengan pemeriksaan dalaman terhadap pegawai Imigresen Kuala Lumpur yang telah disalah guna identiti mereka dan menggesa orang ramai supaya berwaspada dengan taktik serta modus operandi penipuan ini.

"Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang kandungan mesej melalui SMS mahupun platform pemesejan serta panggilan telefon yang disyaki palsu dengan cara menghubungi Imigresen Kuala Lumpur melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di pautan https://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau emel ke [email protected].

"Hal ini adalah bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa kepada aktiviti berunsur penipuan. Individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

-- BERNAMA