KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) sedang mengkaji untuk mewujudkan satu platform yang mampu membantu orang awam mengenal pasti panggilan daripada 'scammer'.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian juga sedang meninjau kaedah yang dilakukan oleh negara jiran Indonesia dan Thailand dalam mengurangkan risiko rakyat menjadi mangsa panggilan palsu. 

Jelas beliau, perkara tersebut sedang dalam pelaksanaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjemput beberapa pihak bagi membuat Proof of Concept (PoC).

"Saya ingin menjemput beberapa pihak membuat POC bagi mengadakan 'tools' yang membolehkan orang awam menyemak apabila ada sesuatu panggilan yang dianggap sebagai scam.

"Isu sekarang ini adalah kerana setiap Telco (syarikat telekomunikasi) menyimpan data-data dan rekod nombor tadi, dan orang awam tak ada akses mengetahui nombor yang membuat panggilan itu adakah nombor pengguna sebenar.

"Sebagai contoh, apabila dia menghubungi dan mengaku daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dia buat cerita-cerita tertentu dan kemudian meminta bayaran.

"Ada juga panggilan mengaku sebagai polis tetapi orang yang menerima tidak dapat menyemak sama ada itu nombor tulen ataupun nombor yang digunakan.

"Sebab daripada penyiasatan kita, banyak juga menggunakan termasuk nombor (orang) yang sudah mati, ataupun nombor yang sudah tiada dalam perkhidmatan.

"Jadi saya sedang melihat kepada beberapa pendekatan untuk mewujudkan satu paltform, di mana bila ada buat panggilan begitu, orang awam ada akses untuk terus menyemak panggilan itu daripada mana," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kementerian juga sedang dalam proses untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang akan dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat.

Pindaan tersebut, kata beliau, bagi memperkasa penguatkuasaan membanteras isu pencerobohan data dan scam serta membabitkan beberapa penambahbaikan tertentu. 

Beliau menambah, setakat 2021, dianggarkan hampir 100 juta data telah dilaporkan dicerobohi.

Bagaimanapun, katanya, tindakan tegas termasuk mendenda pihak yang melakukan kecuaian sehingga menyebabkan data-data berkenaan terceroboh telah dilakukan.