NATIONAL
Azalina hantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

Sebelum ini, Azalina berkata bahawa RUU tersebut diharap menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat atau 'recall election' di sidang Parlimen bulan ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said telah menghantar notis cadangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam.
Jelas Azalina menerusi Twitter, usul tersebut selari dengan inisiatif mencegah amalan lompat parti yang diusahakan kerajaan ketika ini.
“Usul ini adalah selari dengan inisiatif ‘antilompat parti’ yang kerajaan sedang usahakan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’,” ujarnya.
Sebelum ini, Azalina berkata bahawa RUU tersebut diharap menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat atau ‘recall election’ pada sidang Parlimen bulan ini.
Menurut beliau, ‘recall election’ adalah mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya seseorang itu melompat parti.
Dengan ini, ia membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan tersebut untuk membolehkan rakyat memilih wakil rakyat yang baharu.
Di samping itu, katanya, beliau juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan 'Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti' di antara Ahli-ahli Parlimen yang berminat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami