Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertemu dengan pemain industri semasa lawatan dua harinya ke Johor bermula esok.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian tersebut untuk menangani cabaran dan isu-isu yang dihadapi oleh industri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Mohamed Azmin akan diiringi Ketua Setiausaha MITI Datuk Lokman Hakim Ali dan para pegawai kanan lain.

"Inisiatif 'turun padang' ini akan membolehkan industri mengusulkan cadangan dan pandangan mereka kepada kerajaan terutamanya berkaitan dengan usaha memulakan semula dan memulihkan perniagaan mereka," kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Lawatan itu akan membolehkan kementerian dan agensi di bawahnya mendapatkan maklumat secara langsung mengenai isu-isu yang dihadapi syarikat dan transformasi yang dilalui mereka disebabkan krisis COVID-19.

Pertemuan dengan agensi dan syarikat itu akan membantu MITI merangka strategi dan dasar yang lebih baik bagi menyokong pertumbuhan industri pada masa depan.

Mohamed Azmin juga akan mengunjungi Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, diikuti dengan sesi meja bulat bersama wakil industri.

Dialog tertutup itu akan membolehkan industri berbincang secara langsung dengan Hasni dan juga Mohamed Azmin mengenai isu berkaitan perniagaan yang membabitkan kerajaan Persekutuan dan negeri.

"MITI dan agensinya akan meningkatkan capaian kepada perniagaan, sama ada perusahaan kecil dan sederhana, syarikat pertengahan atau syarikat multinasional. Ketika perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu, begitu juga kementerian dan agensi.

"Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk bekerjasama dengan industri dan perniagaan dalam mempercepat pemulihan perniagaan mereka dan memastikan bantuan menerusi pelbagai langkah rangsangan termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara sampai kepada rakyat," kata kementerian itu.

-- BERNAMA