PUTRAJAYA: Bekas Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Lunas, Kedah, pada 12 Nov tahun lepas.

Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman yang difailkan terhadap beliau, Mohamed Azmin menafikan beliau ada menyebut perkataan "langsi" ketika berucap pada kempen itu dan meletakkan Lim atas beban bukti yang kukuh untuk membuktikan bahawa beliau (Mohamed Azmin) telah menyatakan perkataan-perkataan berkenaan.

"Defendan menegaskan bahawa defendan tidak pernah berniat untuk memfitnah plaintif, bahkan hanya menyatakan perkara-perkara yang berlaku semasa plaintif bersama-sama defendan menerajui Kerajaan Pakatan Harapan sejak Mei 2018 sehingga March 2020, kata beliau dalam pernyataan pembelaannya yang difaikan di Mahkamah Tinggi Sungai Petani pada Isnin lalu (25 Sept, 2023)

Dalam pernyataan pembelaan beliau, Mohamed Azmin berkata beliau hanya mengkritik kerajaan pada masa itu dan Lim merupakan sebahagian daripada kerajaan berkenaan dengan dasar-dasar kerajaan yang diguna pakai terhadap beberapa syarikat.

Lim telah memfailkan saman fitnah terhadap Mohamed Azmin pada 17 April lepas. Beliau mendakwa Mohamed Azmin telah membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam satu majlis di Lunas, Kedah pada 12 Nov tahun lepas sebelum PRU15 yang dihadiri media yang membuat liputan kempen pilihan raya.

Lim mendakwa Mohamed Azmin membayangkan beliau (Lim) bersikap angkuh, telah menakutkan komuniti perniagaan sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar The Star pada 13 Nov lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata kenyataan menyinggung perasaan yang merujuk secara khusus terhadap dakwaan kelakuannya semasa menjadi Menteri Kewangan telah menjejaskan kredibiliti dan reputasinya.

Beliau berkata kenyataan itu dalam maksud biasa antara lain mendakwa beliau telah menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan ketika itu dengan menggunakan agensi kerajaan untuk tujuan yang tidak wajar.

Lim berkata kenyataan itu adalah fitnah yang telah memperlekehkan kedudukan peribadinya dan dalam kapasiti dan profesion rasmi beliau.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta permohonan maaf tanpa syarat daripada Mohamed Azmin untuk diterbitkan dalam akhbar The Star dan secara dalam talian The Star.

Pada 8 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Sungai Petani telah membenarkan permohonan Lim untuk menyampaikan saman fitnahnya terhadap Mohamed Azmin melalui perkhidmatan gantian dengan cara menyiarkannya di akhbar.

Perkhidmatan gantian adalah untuk menghantar dokumen dalam litigasi awam dalam bentuk surat, iklan untuk disiarkan dalam akhbar atau apa-apa kaedah lain yang membolehkan prosiding mendapat perhatian defendan selepas penyampaian dokumen secara peribadi tidak dapat dilaksanakan

-- BERNAMA