PUTRAJAYA: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke upacara pengebumian negara untuk mendiang Shinzo Abe pada 27 September.

Turut mengiringi bersama ke upacara yang berlangsung di Nippon Budokan, Tokyo itu adalah pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Isnin.

Upacara tersebut juga merangkumi sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno serta Menteri Luar Negeri Jepun, Yoshimasa Hayashi.

Turut dijadualkan berlangsung ialah pertemuan ringkas bagi menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Abe, Akie Abe di Istana Akasaka.

Pada 13 Julai 2022, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri telah menandatangani buku takziah penghormatan di Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur.

Abe sebelum ini memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk mengukuhkan lagi Dasar Pandang ke Timur (DPT).