Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Muhammad Zahid Md Arip hari ini gagal mencabar tindakan Ketua Audit Negara mengklasifikasikan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi apabilas Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman mereka.

Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said memutuskan tiada merit dalam permohonan semakan kehakiman itu yang difailkan Mohamed Azmin dan Muhammad Zahid, yang juga bekas Mursyidul Am Pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI).

Hakim juga memutuskan bahawa kedua-dua pemohon tidak mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan undang-undang itu.

Mohamed Azmin memfailkan permohonan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonannya, Mohamed Azmin menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan Najib adalah suatu konflik kepentingan apabila mengarahkan Ambrin supaya mengklasifikasikan laporan ketua audit itu sebagai "Rahsia Rasmi" di bawah peruntukan Seksyen 2B Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau turut memohon satu lagi deklarasi bahawa klasifikasi yang dilakukan Ambrin terhadap laporan 1MDB sebagai "Rahsia Rasmi" di bawah OSA adalah menyalahi undang-undang dan "ultra vires" melampaui kuasanya untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan , OSA dan Akta Audit 1957.

Sementara itu, Muhammad Zahid memfailkan permohonan berasingan terhadap responden sama, memohon suatu perintah menjadikan laporan akhir 1MDB boleh diakses orang awam.

-- BERNAMA