KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilakukan secara beransur-ansur supaya tidak terlalu memberi kesan ketara, khususnya kepada golongan B40.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, berdasarkan data sedia ada, satu pertiga pinjaman B40 adalah pada kadar tetap.

Sewaktu menjawab soalan Senator Aziz Ariffin di Dewan Negara, Mohd Shahar berkata, pinjaman B40 adalah pinjaman kenderaan, dan pembiayaan peribadi.

‘’Pendekatan kenaikan OPR secara beransur-ansur ini adalah sangat penting untuk mengelakkan tekanan pada masa akan datang untuk menaikkan kadar OPR secara tergesa-gesa dan pada magnitud yang besar.

‘’Mengenai kesannya terhadap rakyat, BNM berpandangan bahawa kenaikan kadar OPR secara beransur-ansur tidak akan memberi kesan yang ketara, khususnya kepada golongan B40.

‘’Ini adalah kerana satu pertiga pinjaman oleh golongan B40 adalah pada kadar tetap, kebanyakannya adalah untuk pinjaman pembelian kereta dan pembiayaan peribadi,’’ katanya.

Terdahulu, Aziz ingin mengetahui jika ada kajian lapangan kerajaan terhadap tahap kesiapsiagaan rakyat berhubung dengan penetapan kadar OPR.

Dalam pada itu, Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, terdapat pelbagai program bantuan masih tersedia untuk golongan peminjam mudah terjejas (vulnerable groups).

Katanya lagi, bantuan itu termasuk kemudahan di bawah dana BNM untuk PKS, bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar oleh bank, serta khidmat nasihat di bawah pelbagai program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).